BAKTI...


Berbakti kepada ibu bapa... Suatu perkara yang pastinya menjadi dambaan setiap yang bergelar anak... Sana-sini, anak-anak memikirkan apa yang boleh mereka lakukan ... Demi membalas jasa dan berbakti kepada ibu bapa...
Di kesempatan ini, izinkan saya berkongsi sedikit hakikat buat kita yang bergelar anak-anak... Maaf saya pohon seawalnya... Bukan bermaksud untuk melunturkan semangat atau merobohkan motivasi anak-anak sekalian dalam perjuangan berbakti kepada ibu bapa... Sekadar sebagai renungan bersama...

Bakti kita kepada ibu bapa kita, adalah ketika kita senang…
Bakti ibu bapa kita kepada kita, tidak mengira ketika susah atau senang…
Kerna kita anak mereka, unsur terpenting hidup mereka... Setiap saat, ketika dan selamanya...

Mendoakan ibu bapa...
Bakti yang paling mudah untuk kita lakukan terhadap ibu bapa...
Namun, sedarkah kita?
Kita mendoakan ibu bapa kita, saat iman kita kuat dan berada pada tahap yang tinggi…
Sedangkan ibu bapa sentiasa mendoakan kita, tidak mengira saat iman mereka kuat atau lemah, di mana jua tahap iman mereka ketika itu…
Kerna kita anak mereka, unsur terpenting hidup mereka... Setiap saat, ketika dan selamanya...

Anak-anak yang berkerjaya...
Anak-anak yang telah punya pendapatan sendiri...
Berkongsi atau menyerahkan pendapatan kepada ibu bapa...
Lebih berkat rezeki, katanya...
Namun, sedarkah kita?
Kita memberi wang kepada ibu bapa kita ketika wang kita banyak…
Ibu bapa sentiasa memberi wang kepada kita, tidak mengira ketika wang mereka banyak atau sedikit…
Kerna kita anak mereka, unsur terpenting hidup mereka... Setiap saat, ketika dan selamanya...

Kita ingin carikan seorang pasangan hidup yang unggul...
Agar mampu menjadi menantu terbaik buat ibu bapa kita...
Sememangnya anak yang menghargai ibu bapa...
Kerna sanggup memikirkan masa depan demi ibu bapa...
Namun, sedarkah kita?
Ibu kita telah carikan seorang lelaki unggul untuk menjadi bapa kita yang terbaik, sejak dulu lagi…
Sedangkan bapa kita telah carikan seorang wanita unggul untuk menjadi ibu kita yang terbaik, sejak dulu lagi…
Demi kita, anak mereka, unsur terpenting hidup mereka... Setiap saat, ketika dan selamanya...

Ibu bapa kita telah berbakti kepada anak-anak mereka sejak berpuluh tahun dahulu… Sedangkan kita hanya cuba berbakti kepada mereka kini dan mungkin berpuluh tahun akan datang, selagi hayat dan rezeki kita masih bersama mereka…
Persoalannya, adakah setiap saat di berpuluh tahun akan datang itu, ibu bapa kita telah berhenti berbakti kepada kita? Pastinya tidak, bukan? Jadi, bakti ibu bapa kita terhadap anak-anak mereka adalah sejak berpuluh tahun dahulu, kini, dan sehingga berpuluh tahun akan datang… Oleh itu, bakti ibu bapa di saat mana yang ingin kita balas, wahai anak-anak sekalian?
Satu analogi mudah... Seakan ibu bapa kita telah mula berlari sejak lama dulu... Sedangkan kita hanya baru bermula berlari dari garis permulaan yang sama...  Mampukah kita memintas ibu bapa kita?
Saudara/Saudari, anak budiman, benar edaran dunia kini semakin pantas... Namun, itu tidak bermaksud kita mampu memintas ibu bapa kita dalam bab berbakti... Sedarlah kita akan hakikat bahawa bakti ibu bapa kita di edaran dunia kini turut mencurah semakin pantas terhadap kita... Jika tidak, manakan mungkin kita mampu hidup hari ini, dalam dunia yang pantas ini? Dari mana ilmu yang kita belajar, kemahiran yang kita mahir dan semua kelengkapan pada diri kita kini, untuk kita harungi arus dunia ini, jika tidak hasil bakti ibu bapa kita?

Pengalaman yang kita ceduk...
Hasil daripada jalan yang ibu bapa kita tunjuk...

Sekolah yang mendewasakan kita...
Hasil daripada langkah ibu bapa yang menghantar kita...

Masihkah ada antara kita yang berbangga hanya kerana mereka sentiasa mendoakan ibu bapa mereka?
Masihkah ada antara kita yang berbangga kerana memberikan kesemua wang gaji bulanan mereka kepada ibu bapa mereka?
Masihkah ada antara kita yang berbangga kerana mampu carikan pasangan hidup terbaik sebagai menantu unggul ibu bapa mereka?
Masihkah ada antara kita yang yakin berkata, “Aku telah berbakti kepada ibu bapa, demi membalas jasa mereka”?
Terbalaskah bakti ibu bapa kita semenjak dahulu hanya dengan bakti kita kini???

Persoalannya lagi, bagaimana harus kita balas bakti ibu bapa kita? Adakah bermakna kita tidak seharusnya cuba untuk membalas bakti ibu bapa kita, kerna kita tidak akan pernah mampu?
Jawapannya, sentiasalah menjadi anak yang soleh/solehah... Kerna anak yang soleh/solehah merupakan bekalan ibu bapa kita saat mereka hidup dan jua setelah mereka meninggal dunia...
Ibu bapa kita telah menjadi seorang ibu yang solehah dan bapa yang soleh buat kita sebelum kehidupan kita, di setiap saat kehidupan kita dan jua sehingga akhir hayat mereka dan hingga akhir hayat kita...
Ingin membalas bakti ibu bapa, tidak kita tahu kemampuan kita... Namun, setidaknya kita cuba menjadi anak yang soleh/solehah saat kehidupan mereka dan setelah mereka meninggal dunia... Soal terbalas atau tidak jasa itu, terserahlah pada Allah SWT untuk menilainya... Mungkin jua kita yang akan meninggalkan mereka terlebih dahulu... Namun, setidaknya kita telah berbakti kepada ibu bapa kita dan membahagiakan mereka dengan menjadi anak yang soleh/solehah... Setidaknya, pemergian kita diredhai ibu bapa kita... Kerna redha ibu ayah itu, juga redha Allah SWT...

Insan yang gemilang...
Bukanlah insan yang berjaya dalam berjuang...
Tetapi, insan yang terus berjuang walaupun terhalang...

Anak yang soleh dan solehah...
Bukanlah anak yang telah berbakti pada ibu ayah...
Tetapi, anak yang terus berbakti demi Allah...



PERSIS SEPERTI ABI DAN UMI...


Abi      :
Amir, Abi dan Umi ada sesuatu yang ingin ditanyakan pada Amir…

Amir   :
Apa itu, Abi?

Umi     :
Berkenaan Qaisara…

Amir   :
Ya, Umi?

Abi      :
Betul Amir berkenan kat Qaisara?

Amir   :
Insya-Allah betul, Abi…

Umi     :
Boleh Umi dan Abi tahu kenapa Amir berkenan kat Qaisara?

Amir   :
Amir berkenan kat Qaisara, sebab Qaisara mengingatkan Amir pada Abi dan Umi... Saat Amir jauh dari Abi dan Umi, jauh dari adik-adik, Amir sangat rindukan Abi, Umi dan adik-adik... Namun, persahabatan Amir dengan Qaisara sedikit sebanyak mengubat kerinduan Amir pada Abi dan Umi, pada adik-adik...

Abi      :
Maksud Amir?

Amir   :
Abi, Umi, Qaisara nampak pemalu... Namun, kadang-kadang Qaisara suka bergurau, sama macam Abi... Kadang-kadang, Qaisara juga seorang yang serius, sama macam Umi... Jadi, setiap kali Amir bercakap dengan Qaisara, seolahnya Amir bercakap dengan Abi dan Umi... Terubatlah sedikit rindu Amir...

Umi     :
Maksudnya, Amir selalu bersembang dengan Qaisara?

Amir   :
Umi, bukanlah bermaksud Amir selalu bersembang denga Qaisara setiap kali Amir rindukan Umi dan Abi... Amir tidak menjadikan Qaisara tempat Amir melepaskan rindu... Cuma, Amir selalu berbincang dengan Qaisara tentang pelajaran... Amir juga selalu meminta nasihat Qaisara bila Amir menghadapi masalah dalam hidup...

Abi      :
Kenapa Amir tidak terus menelefon Abi, supaya Abi atau Umi dapat membantu Amir?

Amir   :
Abi, kadang-kadang Amir tahu masanya tidak sesuai untuk Amir menelefon Abi... Amir tahu, kadang-kadang Abi dan Umi terlalu sibuk... Jadi, Amir tidak ingin mengusutkan lagi fikiran Abi dan Umi... Kadang-kadang juga, waktunya tidak sesuai kerna telah lewat malam... Jadi, Amir tidak ingin mengganggu tidur Abi dan Umi... Amir rasa, Abi dan Umi pun faham bahawa perbezaan benua turut meletakkan jurang masa antara kita... Di ketika sebeginilah Amir meminta pendapat Qaisara tentang penyelesaian masalah-masalah itu... Setiap respon Qaisara, Amir terima dengan hati terbuka, seperti Amir menerima nasihat Abi dan Umi... Kerna cara Qaisara menasihati Amir juga seakan cara Abi dan Umi...

Abi      :
Jadi, macam mana pula Amir tahu samada waktu itu sesuai untuk Amir menghubungi Qaisara?

Amir   :
Amir hanya menghubungi Qaisara melalui Yahoo Messenger... Jadi, sekiranya Qaisara online, Amir akan cuba bertanya samada dia sibuk dan meminta pendapatnya berkenaan masalah Amir...

Umi     :
Sekiranya Qaisara offline?

Amir   :
Sekiranya Qaisara offline, maksudnya dia tak ingin diganggu... Jadi, Amir pendamkan je la... Seperti yang Abi dan Umi selalu nasihatkan kepada anak-anak Abi dan Umi, apa-apa hal dalam hidup ni, kita pohonlah petunjuk pada Allah SWT... Amir memang selalu berdoa, memohon petunjuk Allah SWT... Cuma kadang-kadang Amir perlukan seseorang untuk nasihatkan Amir... Di saat itulah, Amir perlukan Abi dan Umi, atau Qaisara...

Umi     :
Baiklah jika begitu, Amir... Abi dan Umi percaya Amir dapat fikirkan yang terbaik dan buat pilihan yang paling sesuai dalam hidup...

Amir   :
Terima kasih, Umi, Abi... Bukanlah bermaksud Amir meletakkan Qaisara sebagai ganti Abi dan Umi... Cuma kadang-kadang Amir memerlukan nasihat dari seseorang seperti Abi dan Umi... Dan Amir melihat seakan bayangan Abi dan Umi ada pada Qaisara... Jadi, Alhamdulillah hati Amir lebih terbuka untuk menerima nasihat-nasihat daripada Qaisara...
Abi dan Umi, Qaisara mengingatkan Amir kepada Abi dan Umi... Saatnya Amir terkenangkan Abi dan Umi, pastinya Amir turut terkenangkan adik-adik... Tatkala Amir teringat akan Abi dan Umi, semestinya nasihat Abi dan Umi seolah turut terngiang di telinga Amir... Amir akan turut teringat nasihat Umi tentang betapa kita perlu meletakkan agama sebagai yag terutama dalam hidup... Nasihat Abi tentang betapa kita perlu menjaga perhubungan sesama manusia turut sama melekat dalam ingatan Amir...

Abi      :
Alhamdulillah...

Amir   :
Syukur pada Allah SWT, rezeki Amir dipertemukan dengan Qaisara dan Amir dapat berkenalan dengan Qaisara... Sehingga kini, hati Amir terpaut pada Qaisara... Sekiranya rezeki Amir dan jodoh Amir dimakbulkan oleh Allah SWT untuk terus bersama Qaisara, Amir benar-benar bersyukur... Hati Amir terpaut pada seorang wanita persis seperti Abi dan Umi...


MENCINTAI DARI JAUH…


Di majlis kesyukuran perkahwinannya, si pengantin lelaki diserbu kawan-kawan kolejnya, yang juga kawan-kawan si pengantin wanita...

Kawan A :
Boleh tahan kau ni, kahwin dengan dia... Kitorang tak tahu pun kau suka kat dia...

Pengantin Lelaki :
Berkat doa korang juga... Kan korang selalu usik aku dengan dia masa kat kolej dulu... Alhamdulillah, rezeki aku, jodoh aku dengan dia... Sekarang ni, aku harap korang doakan pula moga jodoh aku dengan dia berpanjangan sehingga akhir hayat...

Kawan B :
Insya-Allah...

Pengantin :
Terima kasih... Korang memang sahabat aku yang terbaik... Sejak dulu lagi...

Kawan C :
Dah memang rezeki kau, kawan... Kitorang pun rasa kau memang layak untuk dia... Tu sebab kitorang usik kau dengan dia masa kolej dulu... (senyum)

Pengantin :
Tu sebabnya aku kata korang ni memang sahabat aku yang terbaik... Korang sempat lagi fikir pasal aku... Siap tolong carikan jodoh untuk aku lagi tu...(senyum)

Kawan D :
Tapi la kan, kau tak pernah pun bagitau kitorang, yang kau betul-betul jatuh hati kat kawan kita yang sorang ni...

Kawan E :
Ha’ah la... Cerita la sikit... Bila masa kau mula jatuh hati kat dia ni?

Pengantin :
Dah lama dah aku suka kat dia... Ditambah dengan korang selalu usik kami dulu, lagi la aku jatuh hati kat dia... Sampai tahap aku kena solat istikharah banyak kali... Sebab aku tak pasti samada perasaan aku tu disebabkan usikan korang atau sebab aku memang suka kat dia...

Kawan F :
Habis tu, punya lama tu, kau pendam je rasa tu?

Pengantin :
Ye la... Aku pun, tak pasti samada dia dah berpunya atau belum... Almaklum la, orangnya cantik, sopan-santun lagi tu... Takut nanti, tersilap langkah pula...

Kawan G :
Apa la kau ni... Apa la salahnya kau pergi jumpa dia, tanya je depan-depan...

Pengantin :
Haa... Yang tu, aku takut tu... Takut jadi perkara lain pula... Aku takut bila aku pergi berjumpa masa dia bersama dengan kawan-kawan dia, aku akan membuatkan dia malu... Aku takut bila aku pergi berjumpa dia ‘one-to-one’, aku takut syaitan pula jadi yang ketiga...

Kawan H :
Habis, apa la kau buat?

Pengantin :
Aku pendam je la... Bila dah banyak kali aku solat istikharah, bila aku pasti yang aku memang sukakan dia, aku selalu berdoa semoga aku dijodohkan dengan dia... Alhamdulillah, sekarang doa aku dimakbulkan...

Kawan-Kawan :
Alhamdulillah...

Pengantin :
Tu la... Aku memang bersyukur sangat-sangat sekarang ni... Sebab dulu aku ada satu keyakinan... Bila kita, seorang lelaki, berduaan dengan seseorang gadis secara dekat fizikalnya, syaitan akan menjadi yang ketiga dan menghasut kita ke arah maksiat, pengakhirannya mungkin tak seindah yang disangka... Tapi, kalau kita berduaan dengan seseorang gadis secara jauh fizikalnya, namun melalui perantaraan Allah SWT, Insya-Allah pengakhirannya indah dan mententeramkan... Aku yakin, bila kita letakkan Allah sebagai yang ketiga, sesungguhnya Allah akan dekat dengan kita dan Maha Kuasanya akan mendekatkan kita dengan pilihan hati kita...

Kawan I :
Jadi, macam mana la kau boleh dijodohkan dengan permata hati kau ni?

Pengantin :
Haa... Yang tu, rahsia... Satu je komen aku... Yakinlah bahawa Allah itu Maha Bijaksana dan Maha Berkuasa, yang mampu memberi rezeki kepada kita dengan cara yang mungkin tidak pernah terfikir oleh kita...

Kawan J :
Baiklah... Pendek kata dan seikhlasnya, kitorang memang cemburu dengan kau... Rezeki kau, kau akhirnya berkahwin dengan kawan kita, seorang wanita cantik yang baik lagi sopan-santun ni... Jadi, ada apa-apa nasihat tak kepada kitorang yang masih membujang ni? Kut-kut ada tips untuk kitorang memperisterikan wanita yang cantik, baik dan sopan-santun sama macam isteri kau ni?

Pengantin :
Tipnya, banyakkanlah berdoa dan solat hajat... Kalau semua nak tahu, tak terkira banyaknya aku berdoa dan bersolat hajat sebelum aku dijodohkan dengan permata hati aku ni... Banyaknya doa dan solat hajat itulah harga untuk aku memiliki hatinya... Ingat, kalau benar-benat berkenan, minta... Mintalah pada pemilik hatinya... Kalau suatu hari kita meminta pada ibu bapa empunya dirinya, mungkin kita akan memiliki dirinya pada keesokan hari... Tapi, jika meminta pada Allah SWT, pemilik hatinya, janganlah kita berputus asa sebab terlalu lama untuk kita memilikinya... Kerna bukannya Allah SWT tidak ingin kita memiliki hati insan idaman kita itu... Namun, Allah SWT inginkan kita bersabar sementara Allah menyediakan diri dan hati kita untuk menerima cinta dari-Nya... Setelah diri kita dipersiapkan, Insya-Allah cinta insan itu akan hadir...

Kawan-Kawan :
Insya-Allah...

SAYANG ITU MENGHARGAI…


Adik
Umi, apa makna sayang?
Umi
Sayang itu menghargai...
Adik
Menghargai? Maksud Umi?
Umi
Adik, seperti mana Umi menghargai Adik... Itulah makna sayang... Walaupun kadang-kadang adik lari menjerit tak nak kemas mainan bila Umi minta Adik kemaskan, Umi tetap sayang Adik... Sebab Umi menghargai Adik dalam hidup Umi...

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Akak
Umi, apa makna sayang?
Umi
Sayang itu menghargai...
Akak
Menghargai???
Umi
Akak, ingat tak, kadang-kadang Akak merajuk bila Umi tak bagi Akak keluar dengan kawan-kawan... Akak lari masuk dalam bilik dan kunci pintu bilik... Bila Akak merajuk, Umi pujuk Akak... Sebab Umi sayangkan Akak... Umi sayang Akak sebab Umi menghargai Akak dalam hidup Umi...

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Abang
Umi, apa makna sayang?
Umi
Sayang itu menghargai...
Abang
Menghargai? Apa kena-mengena sayang dengan menghargai pula?
Umi
Abang, kadang-kadang Abang membentak geram bila Umi kejut Abang bangun pagi, minta tolong belikan sarapan... Tapi, Umi tak kisah... Umi tetap sayang Abang, sebab Umi menghargai Abang...

------------------------------------------------------------------------------------------------------------        

Adik, Akak & Abang
Abi... Abi sayang kami tak?
Abi
Mestilah Abi sayang anak-anak Abi...
Adik, Akak & Abang
Kenapa Abi sayang kami?
Abi
Sebab Abi menghargai anak-anak Abi...
Adik, Akak & Abang
Umi pun, ada sebut pasal menghargai... Tak faham la apa perkaitan menghargai dengan sayang ni...
Abi
Abi menghargai Adik sebab sudi tidur dan guling-guling atas tangan Abi, sampai tangan Abi jadi kuat...
Abi menghargai Akak sebab mendidik Abi berjimat cermat setiap bulan, untuk bayar belanja Akak di universiti...
Abi menghargai Abang sebab mengajar Abi bangun awal setiap pagi, untuk kejut Abang solat Subuh setiap kali Umi keluar bandar berkursus...
Adik, Akak & Abang
Oh, baru kini kami faham... Sayang itu maknanya menghargai...
Abi
Ya, sayang itu menghargai... Jadi, anak-anak Abi, sayangilah setiap insan yang hadir dalam hidup kalian... Yang baik pada insan tersebut, agar dapat kita teladani... Yang tak berapa baik pada mereka, untuk kita letakkan sebagai sempadan hidup ini... Setiap insan adalah untuk dihargai kerna setiap insan yang Allah SWT hadirkan dalam hidup kita adalah untuk ajarkan kita tentang sesuatu... Oleh itu, setiap insan itu wajar disayangi kerna mereka wajar dihargai...
Jika suatu hari nanti, anak-anak Abi bertemu seseorang untuk disayangi, tidak kira sebagai kawan atau teman hidup, sayangilah mereka sebaiknya... Sayangilah mereka sekalipun kalian mungkin menjadi insan terakhir yang disayangi mereka... Usah gusar, kerna mereka mungkin punya dalil kukuh untuk lambat menyayangi kalian... Selagi mana insan yang kalian temui itu tidak terbukti berniat menyakiti kalian, sayangilah mereka kerna setiap insan layak dihargai... Bukan kerna kalian tak punya harga diri, tapi diri mereka begitu beerti buat kalian...

Ilham : Lagu ‘Harga Diriku’ oleh Wali Band...

HANYA INSAN BIASA…


Seorang pemuda ke sebuah villa dengan niat mengisi jawatan Pengurus villa tersebut, setelah terbaca notis tentang jawatan itu... Setibanya si pemuda di hadapan villa tersebut, kelihatan seorang pak cik sedang berkebun di laman villa itu... Kelibat pak cik itu seperti telah berusia lebih setengah abad...

Tanpa menekan loceng, si pemuda menegur pak cik tersebut, “Assalamualaikum pak cik...”. Salamnya dijawab oleh pak cik itu, “Waalaikumussalamwarahmatullahiwabarakatuh...”. “Ya nak, ada apa yang boleh pak cik tolong?”, pak cik itu bertanya. Si pemuda menjawab, “Saya ada terbaca notis bahawa tuan villa ni memerlukan seorang pengurus... Jadi, saya datang untuk bertemu pemilik villa ni...”.

“Oh, silakan...”, kata pak cik itu, tersenyum sambil membuka pintu pagar.

Sambil berjalan ke pintu rumah, si pemuda berkata kepada pak cik itu, “Besar betul villa ni ye, pak cik? Mesti pemiliknya seorang yang mewah...”. Pak cik itu sekadar tersenyum.

Sekadar meneruskan perbualan, si pemuda bertanya, “Pak cik ni, tukang kebun kat villa ni ke? Dah lama dah pak cik kerja kat sini?”. Sambil tersenyum, pak cik itu menjawab, “Pak cik ni, bukanlah siapa-siapa pun... Pak cik ni, hanya orang biasa-biasa je... Pak cik selalu berkebun kat laman ni... Dah lama dah pak cik berkebun ni... Sejak villa ni dibina lagi...”. Si pemuda meneruskan kata-katanya, “Pak cik tak penat berkebun sebegitu lama? Pada pendapat saya, insan seusia pak cik ni, perlu banya berehat dan tidak lagi bekerja kuat...”. Pak cik itu menjawab, “Tak mengapa... Memang hobi pak cik berkebun...”. Si pemuda berkata lagi, “Alhamdulillah... Baik betul pemilik villa ni sebab bagi pak cik kerja kat sini...”. Sekali lagi, pak cik itu tersenyum.
           
Akhirnya, mereka berdua sampai ke ruang tamu villa tersebut... Setelah ,menjemput si pemuda duduk, pak cik itu berkata, “Pak cik ke atas sekejap, nak ke bilik tuan rumah ni... Insya-Allah, tak lama... Lebih kurang 5 minit nanti, anak boleh berjumpa dengan tuan rumah ni...”. Si pemuda mempersilakan pak cik itu naik...
           
Kira-kira 5 minit kemudian, kelibat pak cik tadi turun... Kali ini, dengan berpakaian kemas... Kehairanan, si pemuda bertanya, “Pak cik, kenapa pak cik berpakaian kemas? Mana pemilik villa ni?”. Pak cik itu masih tersenyum ketika menjawab persoalan si pemuda, “Anak, pak cik la pemilik teratak ni... Nama pak cik Tan Sri Hassan...”.

“Tapi, tadi pak cik... Maafkan saya, tadi Tan Sri kata, Tan Sri hanya orang biasa-biasa je...”

“Tak mengapa, anak boleh panggil pak cik je... Memang betul nak, pak cik hanya orang biasa-biasa je... Pak cik hanya seorang insan biasa yang memerlukan seseorang untuk menguruskan villa pak cik ni…

“Tapi, pak cik berkebun, sedangkan pak cik adalah seorang Tan Sri?”

“Nak, seorang Tan Sri juga seorang insan biasa... Memang hobi pakcik, berkebun menanam bunga... Pak cik ingin berbakti pada orang lain, yang memandang indahnya bunga... Berbakti pada Bumi, dengan menyuburkan tanah... Juga berbakti pada diri pak cik, agar terus bergerak, terus sihat, tidak hanya bersandar membiarkan diri dimakan usia... Anak, ingat kata-kata hikmah Rasulullah SAW kepada Abu Dzar, ‘Jika sekalipun dikau tahu esok akan kiamat dan di genggamanmu ada sebutir benih, tanamlah benih itu telebih dahulu...”


BELAJAR MENJADI SUAMI/ISTERI…


            Rasa tertarik dengan kata-kata beberapa orang teman, “Awalnya fikir tentang kahwin... Lambat lagi... Nak belajar sampai dapat Ijazah Sarjana dulu sebelum fikir tentang kahwin...”. Di sudut hati saya, rasa bangga punya kawan-kawan yang berwawasan begini... Terlintas juga di hati, lebih romantik jika dapat mengenggam Ijazah Kedoktoran bersama isteri... Dalam perjuangan mendapatkan ijazah tersebut, pastinya lebih romantik jika dapat belajar dan menjalankan kajian bersama isteri... Alangkah manisnya jika punya teman pendamping yang halal sepanjang perjuangan ijazah tersebut...
            Itu hanyalah impian saya selaku seorang insan yang masih bujang... Apa yang ingin saya tekankan adalah pembelajaran seorang insan sebelum bergelar suami... Bagi kaum Hawa, persiapan diri sebelum bergelar isteri...

Jika ada yang mengeluh,
“Tapi, calon pun takde lagi ni...”
Jawapan saya,
“Tak mengapa walaupun tak punya calon... Yang penting, ada impian...”

            Segalanya bermula dari sebuah impian, bermula sangat terdetik angan-angan... Jika kita insan normal, pastinya kita punya impian dan berangan-angan untuk mendirikan rumah tangga... Siapa dia bakal suami atau isteri kita, itu soal jodoh yang terserah pada Allah SWT, yang pastinya akan tiba masanya nanti... Persoalan yang terpenting, saat tibanya waktu insan mulia itu hadir untuk menjadi pasangan hidup kita, adakah kita sudah bersedia? Mengapa tidak kita bermula dari sekarang? Ayuh kita belajar untuk menjadi seorang suami atau isteri...
            Saya teringat seorang ustazah pernah tekankan bahawa Imam Ghazali mengajarkan perihal jodoh kepada puterinya 10 tahun sebelum puterinya layak mencari jodoh... 10 tahun... Bukan 10 tahun sebelum berkahwin, tapi 10 tahun sebelum layak mencari jodoh... Namun, kita masih merasakan begitu awal untuk kita fikirkan dan persiapkan diri kita kini, untuk jodoh kita nanti?
            Setiap perihal hidup ini bermula dengan fikir... Saat kita memutuskan untuk berfikir tentang sesuatu, saat itulah kita kan mula belajar... Fikirkan tentang masa depan, bahawa suatu hari nanti kita akan berkahwin... Saat itu, bermulalah pembelajaran kita tentang kahwin... Saat itu, bermulalah persiapan kita untuk bergelar suami dan isteri...

Saat saya memutuskan untuk menulis warkah ini, saya tidak sedikitpun berniat mencadang atau menyeru para pembaca untuk berkasih-kasihan dengan bukan mahram... Akan tetapi, saat ini, saya semakin bersyukur memikirkan peluang-peluang untuk saya mempersiapkan diri sebagai suami (walaupun tak tahu bila saya akan berkahwin)... Alhamdulillah sidang pembaca sekalian, kita dikurniakan oleh Allah SWT keluarga, kawan-kawan dan masyarakat yang makmur, bagi membantu kita mempersiapkan diri... Ayuh mulakan pembelajaran kita ke arah menjadi seorang suami/isteri...
            Ingin menjadi seorang pasangan yang romantik? Mengapa tidak kita mulakan memupuk sifat romantik itu sekarang? Mulakan dengan menjadi anak yang romantik, abang yang romantik, kakak yang romantik, atau adik yang romantik? Amalkan menyebut kata-kata sayang dan menunjukkan rasa sayang kita kepada keluarga kita...

Contohnya:
“Cantiknya Umi hari ni, macam permaisuri...”
“Kacaknya Abi... Macam putera raja...”
“Adik... Abang kat kedai ni... Nanti Abang belikan gula-gula untuk Adik ye...”
“Abang jangan la sedih-sedih... Nanti Adik belikan keychain kereta untuk Abang... Haa, kan hensem kalau Abang senyum macam tu...”
“Akak, nah Adik belikan bunga untuk Akak sayang...”

Ya Allah, alangkah romantiknya... Apa yang penting, perasaan romantik itu dipupuk dan dicurahkan secara halal dan tempatnya kena pada syariat Islam... Kalau acap kali kita amalkan memupuk rasa romantik sebegini, Insya-Allah selepas kahwin pun kita akan romantik... Bayangkan kalau 5 tahun atau 10 tahun kita pupuk sifat romantik ni sebelum kita berkahwin... Insya-Allah, selepas kahwin, kata-kata dan perbuatan romantik tu akan menjadi kebiasaan kepada kita... Masa gembira kita romantik (Abang sayang ayang...), masa geram pun kita romantik (Ayang, kenapa masin sangat ni? Abang cubit pipi baru tau...). Kerna sifat romantik tu dah sedia mengalir dalam tubuh kita... Insya-Allah, manusia tidak akan pernah bosan dengan sifat-sifat romantik...
Ingin menjadi pasangan yang bertanggungjawab? Mulakan sekarang, dengan menguruskan beberapa perihal kelurga atau perihal bersama kawan-kawan... Jangan takut untuk menggalas tanggungjawab dalam keluarga atau komuniti... Jangan pula berlagak seolah kita tahu segala-galanya... Pikullah tanggungjawab itu bukan supaya kita dianggap bertanggungjawab, namun kerna kita ingin belajar tentang tanggungjawab... Dan orang yang ingin belajar tidak akan pernah sombong... Itulah kehidupan rumahtangga yang akan kita tempuhi kelak... Ada tanggungjawab yang perlu kita pikul... Ada tanggungjawab yang kita sedia maklum, ada juga tanggungjawab yang kita tak sangkakan...

“Tanggungjawab yang tak disangkakan? Apa itu? Bukankah sama sahaja tanggungjawab suami/isteri dalam rumahtangga, sama seperti pasangan-pasangan sekarang?”

Apa yang saya maksudkan dengan tanggungjawab yang tak disangkakan adalah tanggungjawab menyelesaikan masalah... Masalah yang bakal kita tempuhi, tidak kita sangkakan, tidak sama seperti pasangan-pasangan lain... Menjadi tanggungjawab kita untuk menyelesaikan masalah yang timbul... Namun, bagaima dapat kita belajar tentang semua ini? Senang sahaja... Pikullah tanggungjawab, kerna bertanggungjawab itu bermaksud menghadapi setiap permasalahan... Sebagai seorang yang bertanggungjawab, kita akan belajar tentang penyelesaiannya... Bukan bermaksud kita harus menyelesaikan segala masalah yang menimpa, tapi kita akan belajar tentang muafakat menyelesaikannya dan belajar bertanggungjawab supaya masalah itu tidak menular bertambah teruk...
            Bercakap tentang tanggungjawab bukan bermaksud kita harus merebut jawatan-jawatan penting dalam masyarakat... Tanggungjawab boleh bermula dengan diri sendiri... Tanggungjawab diri, memerhatikan fenomena dan gelagat masyarakat sekeliling dan belajar... Perhatikan apa yang berlaku di sekeliling kita dan belajarlah... Takut dikatakan ‘busy body’ atau menyibuk? Sekadar memerhati tanpa bersuara, cukup untuk kita refleksi dan belajar, lantas tidak dicop menyibuk hal orang lain... Perhatikan permasalahan yang berlaku di sekeliling kita, dan teliti bagaimana mereka yang terlibat menyelesaikan permasalahan tersebut... Dengan itu, Insya-Allah kita dapat belajar sesuatu... Itulah caranya kita belajar tentang tanggungjawab, agar kita mampu praktikkannya dalam rumahtangga kelak...
            Ramai insan yang telah melangkah ke gerbang perkahwinan berkata, “Perkahwinan adalah tentang persefahaman dan sabar..”. Lantas, membuatkan saya terfikir, “Mampukah persefahaman dan sabar itu dipupuk dalam masa yang singkat?”. Sebulan dua sebelum berkahwin, susah untuk memupuk persefahaman dan sabar... Berbulan-bulan selepas berkahwin pun, belum tentu persefahaman dan sabar dapat dipupuk... Jadi, harus bermula memupuk sekarang... Walaupun mungkin bertahun lagi sebelum diri ini berkahwin... Harus belajar memahami orang lain dan sabar dengan kerenah insan-insan di sekeliling...

Bayangkan detik hati-hati ini:
“Garangnya muka suamiku ni, macam muka Ayah... Tapi, Ayah tak senang melenting... Mesti suamiku pun tak cepat melenting...”
“Isteriku cepat merajuk... Ku pujuk dengan sekuntum bunga mekar... Sama macam Ayah pujuk Ibu dulu...”
“Suamiku keletihan balik dari kerja... Mungkin dia perlukan sedikit urutan bahu dengan kasih sayang... Itu yang selalu Ibu lakukan pada Ayah dulu...”

            Inilah detik hati insan-insan yang gemilang, yang belajar tentang persefahaman dan sabar bermula dari rumah, di samping keluarga... Apa yang cuba saya tekankan adalah belajarlah untuk memahami orang lain dan bersabar dengan apa jua kerenah mereka, agar kita mampu menjadi seorang suami/isteri yang memahami isteri/suami dan sabar dengan kerenah mereka yang kadang-kadang tak menentu... Bak pepatah Inggeris, “Expect the unexpected”... Bagaimana nak ‘expect’ yang ‘unexpected’ tu? Selenggara dan imbangi ‘expectation’ kita melalui pengalaman dan pembelajaran secara langsung juga secara tak langsung... Belajarlah dari hidup ini...

            Terlalu banyak yang perlu kita pelajari sebelum berumahtangga... Namun, kita masih berpendapat dengan menghadiri kursus kahwin sekali dua, dan tempoh sebulan dua sudah cukup untuk kita belajar tentang kahwin? Sidang pembaca sekalian, Allah SWT izinkan kita hidup sekian lama, agar kita belajar banyak tentang banyak perkara... Maha Mulia dan Maha Bijaksananya Allah SWT mengizinkan kita hidup bujang sekian lama, supaya kita belajar tentang perkahwinan lama sebelum kita berkahwin... Cukuplah saya utarakan beberapa contoh apa yang boleh kita belajar dari hidup ini, sebagai persediaan kita menjadi suami/isteri kelak... Sidang pembaca sekalian, teruslah belajar dalam hidup ini... Kerna hidup itu satu pembelajaran... Hidup juga satu ujian... Jadi, hiduplah bukti samada teori kita adalah fakta atau fiktif semata...
Kita tidak akan pernah bersedia untuk berkahwin... Namun, setidaknya kita sudah belajar beberapa perkara tentang perkahwinan, yang mungkin tidak dipelajari orang lain... Jadi bersyukurlah kerna kita diberi peluang untuk belajar melalui hidup ini dan diberi minda untuk berfikir...

Kadang-kadang Allah bagi pengajaran kepada seseorang insan tanpa insan itu sedari... Apa yang penting, insan itu harus sudi belajar... Saat seorang insan tu menetapkan tekad untuk belajar, Insya-Allah, Allah SWT dengan sifat-sifatnya yang Maha Mulia akan terus-menerus memberi pengajaran kepada insan itu... Jadi insan sekalian, mulakan niat dan bulatkan tekad untuk belajar, Insya-Allah dikau akan belajar banyak tentang apa yang dikau niatkan...
Apa yang kita belajar hari ini belum tentu untuk hari esok... Boleh jadi, untuk tahun hadapan atau berpuluh tahun hadapan... Jadi, mulalah belajar sekarang untuk masa depan...
Ada insan yang berpuluh kali diberi pengajaran, namun dia tidak mengambil peluang untuk belajar sedikit pun... Ada insan yang hanya sekali diberi pengajaran, namun dia terus belajar dari pengalaman itu... Anda fikirkan sendiri, apa itu definisi untung dan rugi... Anda renungkan sendiri siapa yang amat beruntung dan siapa pula yang sangat rugi... Sambil anda renungkan, gapailah setiap saat pengalaman hidup anda dan belajarlah sesuatu tentang saat-saat itu, kerna saat itu mungkin mampu menjadi panduan anda selama bertahun di masa depan...

Bukan berapa kilo garam yang ditelanmu menjadi perkiraan, namun apa erti masin yang menjadi panduan bagimu...

Ada insan yang berlayar satu dunia dan bercakap heboh tentangnya, namun masih tidak mengenali walaupun seekor ikan...
Ada insan yang hanya selangkah menjejak ke taman, namun mampu menggenggam sejambak bunga mewangi berlain jenis...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Awak ada sesuatu untuk diperkatakan? Atau sesuatu untuk dibincangkan?
Jom kita berdiskusi melalui e-mail...

along.azihani@gmail.com

Insya-Allah, semoga kita dapat berbincang dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat..."

Ahmad Zakry Haikal