JADI MAKWE SAYA???


(Zaman semakin moden… Zaman dulu, kita selalu dengar lelaki mengorat perempuan… Di zaman moden ini, perempuan pun semakin pandai-pandai mengorat…)
(Kisah ini olahan berdasarkan situasi sebenar… Insya-Allah, tiada niat jahat terselindung… Maaf, jika menyebabkan ada yang tersinggung…)

Di suatu petang… Lokasi, pondok kecil, tepi jalan… Y sedang lepak bersama kawan-kawan… Melintas R…

Y :       Phewit, hensem… Hai awak…

R :       Assalamualaikum… Saudari panggil saya ke? Ada apa yang boleh saya tolong?

Y :       Oh, ala-ala Imam Muda rupanya… Waalaikumussalam... Ye, saya panggil awak la… Nak berkenalan boleh?

R :       Insya-Allah, boleh… Tapi, saya nak cepat ni… Nak ke kedai, beli barang… Insya-Allah, ada peluang, kita jumpa lagi esok-esok… Nak jumpa nanti pun, takut tak sempat… Dah nak Maghrib ni, saudari mesti nak balik rumah kan???

Y :       Wah, ada gaya suami mithali ni… Pandai beli-beli barang kat kedai lagi… Pastu, siap ingatkan Maghrib, suruh balik rumah lagi… Takpe la, lambat sangat nak tunggu esok… Saya terus terang je la… Saya nak jadi makwe awak, boleh tak?

R :       Nak jadi makwe saya? Boleh… Tapi...
Nak pegang tangan, pegang tangan ayah, atau abang, atau adik lelaki awak... Jangan pegang tangan saya...
Nak peluk cium, peluk cium ayah, atau abang, atau adik lelaki awak... Jangan peluk cium saya...
Nak cakap sayang muah-muah, cakap sayang muah-muah kat ayah, atau abang, atau adik lelaki awak... Jangan cakap sayang muah-muah kat saya...
Nak keluar jalan-jalan, ajak ayah, atau abang, atau adik lelaki awak... Jangan ajak saya...
Saudari boleh buat semua tu? Kalau boleh, saya boleh pertimbangkan saudari jadi makwe saya...

Y :       Pergh... Banyak betul yang saya kena buat... Tak syok, segan la macam tu... Lagipun, hari-hari boleh buat semua tu...

R :       Aik, segan dengan muhrim sendiri??? Tapi, tak segan dengan saya??? Ya, hari-hari saudari boleh buat... Tapi, hari-hari ke saudari buat???
            Maaf, saudari... Kalau saudari tak mampu buat semua tu, saya tak boleh pertimbangkan saudari untuk jadi makwe saya...
            Saya minta diri dulu... Assalamualaikum

Y :       Waalaikumussalam...

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Selang beberapa purnama kemudian... Lokasi, di sebuah masjid di hujung jalan... Detik dan ketika, selesai solat Isyak... Semua jemaah keluar dari masjid untuk pulang ke rumah masing-masing... R di anjung masjid, berjalan menuju sandalnya... Tidak jauh di belakang, terlihat Y, bersama seorang lelaki...

Y :
Assalamualaikum, saudara...

R :
Waalaikumussalamwarahmatullahiwabarakatuh...

Y :
Saudara masih ingat saya?

R :
(setelah mengimbau sejenak) Insya-Allah, saya masih ingat... Dulu, kita pernah bertemu dekat pondok di tengah jalan ni...

Y :
Alhamdulillah, saudara masih ingat... Dulu, saya berhajat akan saudara... Kini pun, saya masih berhajat... Jadi, kali ni, boleh saya jadi makwe saudara?

Ayah Y :
Assalamualaikum, nak... Pak cik ni, ayahnya si Y ni... Dulu, Y balik rumah, teresak-esak... Bila ditanya kenapa, terjumpa malaikat katanya... Terkejut jugak pak cik dan emaknya... Terus diajaknya kami sekeluarga datang berjemaah ke masjid... Bermula pada hari tu, selalu kami berjemaah di masjid ni, sebab diajak Y... Setiap kali kami balik ke rumah lepas solat Isyak, si Y selalu cakap kat maknya, yang malaikat yang dia jumpa tu ada di masjid masa berjemaah...
Pak Cik dan mak cik ingat Y ni betul-betul nampak lembaga yang disangkakan malaikat... Jadi, hari ni Pak Cik nekad untuk tanya dia... Bila dia kata, malaikat tu masih ada, Pak Cik suruh dia tunjuk... Rupanya anak, yang Y maksudkan selama ni...
Jadi, nak... Maaf la, Pak Cik tak tahu nama, dan Pak Cik tak kenal anak teruna siapa ni... Kalau sudi, Pak Cik nak pinangkan anak untuk Y ni... Setuju???

R :
Maaf, saudari... Saya tak dapat terima saudari sebagai makwe saya... Saudari jadilah isteri saya... Sudilah jadi permaisuri hidup saya, Insya-Allah...
Pak Cik, saudari Y, nama saya R, anaknya Pak Cik S dan Mak Cik T, rumah di simpang 3 sana... Jemput la ke rumah, dan sampaikanlah niat Pak Cik tu kepada ayah dan mak saya...
Saya minta diri dulu... Assalamualaikum...

Y dan Ayah Y :
Waalaikumussalamwarahmatullahiwabarakatuh...

GIGI TERGIGIT LIDAH…


“Sedangkan lidah lagi tergigit… Inikan pula suami isteri…”
(Lagu P. Ramlee)
Bersama petikan lagu ini, ingin saya kongsikan satu kisah... Kisah benar, yang ada kaitan dengan yang hidup, mungkin juga berkaitan dengan yang sudah meninggal dunia...

Baru-baru ni, atuk dan nenek saya bergaduh... Tidak asing jika mereka bertikam lidah, kerana itu kerap juga... Ini bergaduh agak besar, sampai merajuk-rajuk... Asbab apa mereka bergaduh, biarlah rahsia... Apa yang saya ingin kongsikan, mereka bergaduh...

Kenapa Haikal kongsikan kisah atuk dan nenek bergaduh???
            Sekali terkenang, lawak jugak atuk dan nenek saya ni... Ye la, di usia lanjut, bergaduh sampai merajuk... Tapi, di celah-celah pergaduhan tu, nenek saya ada mengungkapkan sesuatu... Kata nenek, “Haikal duduk la kat situ, Nek nak keluar buat kerja...”. Maka, saya faham la... Nenek merajuk, dan ingin bersendirian di luar...

            Sedang saya duduk, menjaga atuk, saya teringat suatu masa dulu... Masa tu, saya duduk bersama atuk dan nenek di anjung rumah mereka... Atuk dan nenek kata, “Tok dan Nek ada Haikal... Haikal la jadi pendamai Tok dan Nek...”. Sedetik terkenang, seakan ada harapan di situ... Maka tercetus sesuatu untuk dikongsikan di sini...

Persiapkan pendamai, untuk masa ‘perang’...
            Kehidupan suami isteri mungkin tidak dapat lari dari saat-saat konflik... Di ketika perang ‘dingin’ tu, boleh jadi suasana terlalu ‘hangat’, untuk suami dan isteri sejukkan hati... Oleh itu, sementara masih di saat-saat senang, hati tenang, persiapkan seseorang untuk bertindak sebagai pendamai... Tugas pendamai ini, untuk mengambil alih peranan isteri dalam melayan suami, dan untuk memujuk isteri bagi pihak suami, sementara suami isteri berusaha untuk bertenang...

            Pendamai ni, tak perlu diupah... Tak perlu dipanggil teman karib yang berada jauh... Cukup anak-anak, atau cucu-cucu, yang dekat di mata... Latihlah anak-anak, atau cucu-cucu, agar mereka faham bila terjadinya konflik, dan tahu apa yang harus dilakukan...

            Memang tidak bagus melibatkan anak-anak, atau cucu-cucu dalam konflik antara suami isteri... Sangatlah tidak digalakkan untuk menceritakan konflik suami isteri kepada anak-anak, apatah lagi cucu-cucu... Saya akui, dan saya sokong, tanpa keraguan...

Apa yang saya maksudkan bukan menceritakan konflik suami isteri kepada anak atau cucu – kenapa ibu marahkan ayah, kenapa ayah tengking ibu, apa yang ayah dan ibu tak puas akan satu sama lain... Apa yang saya maksudkan, latih anak dan cucu agar mereka mampu fahami ada konflik sedang berlaku antara ibu bapa atau datuk dan nenek... Didik mereka agar tahu apa tindakan yang wajar diambil oleh mereka bagi mendamaikan ibu bapa atau datuk dan nenek...

Oleh itu, ibu bapa sekalian, rapatkanlah diri dengan anak-anak, juga cucu-cucu, sehingga satu tahap mereka mampu mengesan andai ada konflik berlaku antara ibu bapa, atau atuk nenek mereka...

Sebenarnya, dalam rajuk, masih ada sayang...
            Berbalik kepada peristiwa konflik atuk dan nenek saya tadi... Dalam rajuknya, nenek saya sempat bertanya kepada saya, ketika saya bertemu dengannya di luar rumah, “Tok dah makan??? Makanlah dengan Tok... Tok, kalau dah gaduh dengan Nek, tak nak makan dengan Nek...”. Dan atuk saya ada bertanya, saat saya nak makan bersamanya, “Nek mana??? Panas terik macam ni, nak kerja lagi???”.
           
Makna kata, walaupun masing-masing marahkan dan merajuk dengan satu sama lain, mereka masih menyayangi, dan masih ambil berat akan satu sama lain... Cuma mungkin mereka perlukan masa untuk kembali serasi dekat satu sama lain...
           
Saya percaya, begitulah konflik suami isteri... Walaupun marah, mahupun merajuk, masih ada rasa ingin tahu akan keadaan pasangan... Cakna akan pasangan tu masih tebal, kerna sayang masih ada dalam hati... Sedia maklum, dalam bergelut merendahkan ego, dan meredakan amarah, kadang-kadang kita perlukan masa yang lebih lama...

            Jadi, jangan dibiarkan masa yang kita ambil itu menjadi terlalu lama dan kosong, sehinggakan hati dan jiwa kita semakin kacau dek syaitan... Alangkah moleknya, jika ada insan yang mampu mengisi lopong itu... Apatah lagi jika insan yang tampil itu adalah insan yang kita sayangi, seperti anak-anak dan cucu-cucu...

            Ya, memang saya tidak nafikan, kita sentiasa ada Allah SWT... Allah SWT sebagai tempat mengadu, dan tempat mencari penyelesaian bagi apa jua konflik dan permasalahan... Tapi, kita jangan lupa bahawa Allah SWT juga mampu menghantarkan solusi melalui insan-Nya... Jangan juga kita terlupa bahawa anak-anak dan cucu-cucu juga daripada Allah SWT... Salah satu rahmat Allah SWT yang turun bersama anak dan cucu itu, mampu juga dirasai saat mereka hadir di sisi ibu bapa atau datuk nenek, sebagai pendamai ketika konflik...

Anak-anak dan cucu-cucu sekalian, damaikanlah...
            Bukankah di dalam Al-Quran juga ada tertulis, “Damaikanlah dua pihak yang bertelagah itu”??? Sebelum kita fikirkan inisiatif untuk mendamaikan dua negara yang bertelagah, atau dua pihak yang berselisih pendapat, atau dua kawan yang bertegang leher, alangkah moleknya jika kita dapat menjadi pendamai buat ibu bapa, atau atuk nenek kita saat mereka berkonflik...

            Kita semua anak-anak dan cucu-cucu yang bijak pandai... Semestinya kita mampu mengesan tatkala adanya konflik antara ibu bapa dan atuk nenek kita... Gunakanlah apa cara sekalipun untuk mendamaikan mereka yang kita sayangi tu...

            Tiada yang lebih memahami ibu bapa, selain anak-anak... Selain anak-anak, cucu-cucu lah yang lebih memahami datuk dan nenek... Jadi, tidak kisah apa pun yang kita buat, pastikan kita mampu menjadi pendamai antara mereka...

            Ada anak-anak yang menggunakan kata-kata seperti, “Ayah, Mak, malu kat anak-anak, gaduh macam ni...”. Ada cucu-cucu yang menggunakan ugutan seperti, “Atuk, Nek, jangan gaduh... Kalau tak, saya dah tak nak datang rumah Atuk dan Nek lagi...”. Asalkan ‘makan dek saman’, silakan... Asalkan menjadi, gunakanlah apa cara sekalipun... Selagi mana tak berbaur derhaka, dibenarkan... Kerna, kita lebih kenal ibu bapa kita, dan atuk nenek kita...

Alhamdulillah...
Bahagia bila kita dipercayai untuk menjadi pendamai orang yang kita sayang... Kepada ibu bapa dan atuk nenek sekalian, bahagiakan anak-anak dan cucu-cucu dengan meletakkan kepercayaan itu pada mereka... Kepada yang bergelar dan cucu, bahagiakanlah ayah ibu dan atuk nenek, dengan mendamaikan mereka...

Sekian daripada saya, buat warkah ini... Maaf, saya hanya bercakap sebagai seorang anak dan cucu... Andai terkurang, atau ter‘over’, ampunkan khilaf saya... Semoga yang baik dapat sampai ke hati semua...

Gigi mungkin tergigit lidah...
Namun, di situ hadirnya air liur...
Lembut, namun berguna...
Setidaknya, mengelakkan terputus...
Juga mengurangkan keperihan...

nota:   Walaupun Tok dan Nek saya berkata sayalah pendamai mereka, sebenarnya mereka berkata demikian kepada semua anak dan cucu mereka... Itulah ‘garam’ yang mereka makan terlebih dahulu sebelum anak dan cucu mereka... Alhamdulillah, bermanfaat buat kami...

LURUSKAN, RAPATKAN SAF


“Kenapa berjemaah di masjid, jika tak samakan saf?”
Pertanyaan si adik kecil kepada ayahnya, sebaik sahaja ayahnya berenjak duduk ke belakang… Perlahan, namun sempat singgah di telinga saya, lantas menyentak hati saya… Si anak kecil duduk di belakang saf dari bermulanya solat berjemaah sehingga salam solat, rupanya memerhatikan bapa-bapa dan abang-abang yang berjemaah di depannya… Subhanallah, hebat didikan ibu bapanya, sehingga si kecil itu mampu mengutarakan persoalan yang begitu hebat...

Benar dan bernas persoalan adik itu... Terkadang, kita terlupa akan mengapa kita berjemaah di masjid... Barangkali kita terlalu terbiasa dengan “Pahala berjemaah itu adalah 27 kali ganda berbanding solat bersendirian”... Kalimah itu adalah benar, kerna janji Allah adalah sebenar-benar janji... Namun, kita salah bila kita hanya mengambil maksud kalimah itu pada permukaannya, bukan ibrah atau hikmah pada dasarnya...

Apa maksudnya solat berjemaah yang mengganjarkan 27 kali ganda pahala itu??? 27 kali pahala itu letaknya pada jemaah yang safnya lurus dan rapat, bukan pada saf yang longgar dan berombak barisannya...

Kerna itulah pahala khusyuk diperolehi oleh semua ahli jemaah, biarpun hanya seorang daripada jemaah itu yang khusyuk sebenarnya... Kerna pertalian yang telah dijalin oleh semua ahli jemaah sebelum bermulanya solat...

Kerna itulah doa setiap ahli jemaah lebih mudah termakbul berbanding insan yang solat bersendirian... Kerna kesatuan hati yang terbina secara tidak langsung di kalangan jemaah, melalui rapatnya saf yang diluruskan sebelum solat bermula...

Sidang pembaca budiman,
Lurusnya dan rapatnya saf sebenarnya tidak mudah... Meluruskan dan merapatkan saf memerlukan pengorbanan... Saat kita melangkah ke dalam saf, kita perlu buang segala ego untuk memastikan kaki kita sama dengan orang sebelah, dan diri kita rapat dengannya... Bila mana kita telah berada di dalam saf, kita harus merendahkan diri untuk menegur orang di sebelah kita dengan penuh hemat, agar dia meluruskan kaki dan merapatkan dirinya dengan saf yang telah terbina...

Atas dasar inilah, solat berjemaah itu dijanjikan ganjaran yang begitu besar... Sebagai balasan atas pengorbanan yang telah dilakukan oleh setiap ahli jemaah itu... Bukanlah Allah menyulitkan hidup manusia, sebelum memberi ganjaran yang besar... Akan tetapi, agar kita tidak lewa dalam mengejar ganjaran Allah...

Apalah guna kita berjemaah, jika kita berdiri sendirian, tanpa sebarang usaha untuk menunjukkan kesatuan dalam saf??? Apalah guna membina saf, jika masing-masing seakan membawa haluan masing-masing, sesuka hati mahu berdiri ke depan sedikit atau ke belakang sedikit berbanding orang, mengekalkan jarak masing-masing??? Apakah ada kasta dalam saf berjemaah???

Seharusnya, hati dan jiwa yang terdidik melalui proses solat berjemaah itu dibawa untuk diamalkan dalam kehidupan harian, agar kita melupakan kasta dan darjat sesama kita... Tapi, kita melakukan sebaliknya... Kasta dan darjat dalam kehidupan seharian kita terbawa-bawa ke dalam solat berjemaah... Maka, berjayalah musuh-musuh Islam dalam memecahbelahkan umat Islam... Lagi kita mahu tanya mengapa martabat Islam tidak lagi tinggi di mata umat selain Islam??? Sedangkan kita sendiri tidak menggambarkan didikan Islam yang agung... Sedangkan kita sendiri menjadi sumber fitnah pada Islam itu...

Islam dulu, cukup terlihat pada kukuhnya saf pejuangnya dan umatnya, untuk disanjung oleh dunia... Islam kini, dikucar-kacirkan oleh umatnya, sehingga Islam terlihat bercabang dan bersagat... Masyarakat sekeliling dipeningkan oleh umat Islam sendiri... Umat Islam lantang bersuara, kononnya barisan perjuangan Islam itu lurus dan teguh... Namun, dalam membina saf berjemaah solat sendiri kucar-kacir, dan menonjolkan umat Islam mementingkan diri sendiri... Di mana lagi masyarakat ingin melihat lurus, rapat dan teguhnya saf umat Islam, jika tidak di masjid, tempat tumpuan umat Islam???

Saudara/Saudari,
            Izinkan saya mengaitkan sedikit isu saf ini dengan pembinaan rumahtangga... Pembinaan rumahtangga juga sama seakan pembinaan saf solat berjemaah, memerlukan pengorbanan... Mana mungkin terbina sebuah rumahtangga yang makmur dan teguh, jika si lelaki dan si wanita masing-masing mementingkan diri sendiri... Korbankanlah sedikit ego dan kehendak diri, demi melengkapi rumahtangga yang dibina...

Jika kita perlu melengkapi, maka kecilkan ego untuk merapati... Jika kita telah berada dalam kebenaran, maka santunilah dengan baik agar dia hampiri kita... Konsep ini perlu dipraktikkan dalam solat berjemaah, juga dalam berumahtangga...

Oleh itu,
JIKA KAMU MENDAMBAKAN RUMAHTANGGA YANG MAKMUR DAN LENGKAP, LIHATLAH DAHULU LURUS DAN RAPATMU DALAM SAF SOLAT BERJEMAAH... Adakah dikau bersifat melengkapi???

ADUH, KEDAPATAN PULA…


Satu ketika… Yang pernah berlaku, kadang-kadang berlaku, atau mungkin juga selalu berlaku pada kita...

Bila kita menghurai, dan terus menghurai tentang sesuatu, kita tersedar bahawa kita tersilap…
           
Makna kata, kita sebenarnya tersilap faham maksud insan yang sedang berbicara? Apa tindakan kita selepas tersedar itu? Adakah kita cukup kuat untuk memohon maaf? Apakah kita cukup kental untuk melawan ego sendiri, dan mengaku tersilap?
           
Atau, adakah kita biarkan sahaja? Kita biarkan mereka, hanya kerana kita merasakan kita tetap betul??? Ya, mungkin maksud kita juga betul... Akan tetapi, apa yang menjadi fokus sebenar adalah maksud yang disampaikan insan tersebut di awalnya... Maksud kita hanyalah satu pemahaman berbeza dari sudut lain...
           
Tidak dinafikan, hidup ini penuh dengan ‘ambiguity’... ‘Double meaning’... Apatah lagi kata-kata dan bait ucapan... Akan tetapi, jangan kerana kita, jatuh air muka insan yang berkata... Jangan kerana kita, orang lain yang turut mendengar menjadi bingung, apatah lagi turut tersilap faham...
           
Apalah salahnya, kita mengungkapkan kata-kata seperti, “Oh, maaf... Baru saya faham maksud sebenar awak...”. Lagi bagus kita bantu insan itu menegaskan maksudnya, “Oh, maksud awak ....”.
           
Hakikatnya, takdir Allah seumpama ini mampu mengajar kita sesuatu... Bukan Allah saja-saja menyebabkan kita silap faham kata-kata yang ‘double meaning’... Bukannya kemampuan Allah itu terhad sehingga terciptanya ‘ambiguity’... Jika Allah inginkan, maka tidak akan ada kelainan maksud pada sesuatu kata... Kini Allah telah ciptakan dan paparkan kepada kita betapa satu kata-kata mampu diterjemah berlainan maksud, maknanya Allah inginkan kita belajar sesuatu...
           
Pertama, Allah ingin kita berfikir dan mentafsir sematang-matangnya sebelum memberi respon... Sekiranya kita mentafsir semasaknya, sematangnya, Insya-Allah kita akan memahami maksud insan yang berkata itu... Seandainya kita berfikir lebih sedikit, Insya-Allah kita akan membatalkan niat kita untuk membangkang kata-katanya...
           
Kedua, Maha Bijaksana Allah, mencipta minda kita yang bijaksana mampu terus mentafsir sungguhpun ketika kita sedang berbicara... Ketika kita menegaskan maksud kita, dalam membangkang kata-katanya, kita mampu terlintas maksud sebenarnya insan tersebut... Saat itulah kita tersedar bahawa kita tersilap faham... Masya-Allah, betapa Maha Bijaksana Allah dalam memberi ilham kepada kita...
           
Ketiga, Allah ingin kita sedar dan kuatkan hati kita dalam melawan ego, dan memohon maaf setelah tersedar kita tersilap... Jadi, di sini letaknya ujian buat kita... Apakah kita kuat atau lemau dalam mengaku salah??? Seperkara yang perlu kita ingat, maaf tiada tempoh luput... Sekalipun kita tidak tersedar saat kita berbicara, kita mungkin sedar selepas itu... Kita mungkin tersedar hakikat kita tersilap faham saat kita teringatkan peristiwa debat itu... Nah, saat itu juga masih tidak terlambat untuk kita ungkapkan maaf, dan mengakui bahawa insan itu sebenarnya betul...

Hidup ini mudah, jangan dipersulitkan...
Apatah lagi sampai menyulitkan orang lain...
Usah disesatkan orang lain, hanya kerana salah faham kita...

p/s : Warkah ini sebenarnya refleksi diri saya... Sebuah perkongsian... Tiada maksud saya untuk menujukan kata-kata ini kepada sesiapa... Saya terima apa jua respon terhadap saya... Saya doakan setiap maksud kata saya, setiap warkah saya, difahami seperti seharusnya oleh awak semua... Saya memang dikenali sebagai seorang yang bermaksud ‘ambiguity’... Jadi, maafkan saya jika saya sering membuatkan sesiapa pening dalam memahami maksud saya...

BILA KITA SAKIT...


Bila kita sakit,
Kita ke klinik...

Bila kita sakit,
Dan klinik tak dapat rawat,
Kita ke hospital umum...

Bila kita sakit,
Dan hospital umum tak dapat rawat,
Kita ke pusat perubatan swasta...

Bila kita sakit,
Dan pusat perubatan swasta tak dapat rawat,
Kita berubat ke luar negara...

Bila kita sakit,
Dan pakar luar negara pun tak dapat rawat,
Barulah kita balik berdoa...
Memohon Allah sembuhkan...

Apabila sakit itu tak tertanggung dan tak dapat diubat,
Apakah saat itu baru kita teringat dan memohon pada Allah?
Sedangkan pada Allah letaknya kuasa Maha Menyembuhkan...

Andainya kita dilayan sedemikian,
Apakah perasaan dan tindakan kita?

Kiranya kita pakar dalam suatu bidang,
Namun kita dijadikan alternatif terakhir rujukan,
Apakah dapat kita terima?
Apakah kita tetap membantu?
Apakah kita tak berkecil hati?

Tapi,
Maha Pemurah Allah...
Tetap membantu kita, hamba-hamba-Nya...
Bila kita sakit, Allah sembuhkan...
Bila kita alami masalah, Allah selesaikan...
Bila kita kusut fikiran, Allah tenangkan...
Bila kita resah hati, Allah damaikan...
Bila kita susah, Allah senangkan...

Ilham : Dato’ Haji Hashim bin Ismail

MERDEKA DAN SOLAT


Merdeka??? Apa tu???
Merdeka ke kita bila kita bebas daripada belenggu penjajah, namun kita masih sukar bersolat 5 waktu???

Kita selalu kata Palestin dijajah... Kenapa??? Sebab menurut kita, Palestin terjajah kerana rakyatnya kelihatan tidak bebas... Namun begitu, kita sedar tak, rakyat Palestin bebas bersolat di  mana sahaja???

Apa maksud Haikal???
Maksud saya, rakyat Palestin ‘bebas’ bersolat kerana mereka mampu solat di mana sahaja, dalam apa keadaaan pun... Di tengah-tengah jalan, mereka solat... Di celah runtuhan, mereka solat... Berlangitkan asap dan kabus habuk, mereka solat... Berhujankan peluru, mereka solat...

Sedangkan kita yang dikatakan merdeka, tak mampu berbuat demikian... Di pejabat, kita menanti tiba di rumah  untuk solat... Kena keluar awal, mengelak daripada kesesakan lalulintas, kata kita... Bila tersangkut dalam kesesakan, kita sibuk mengeluh... Masih juga kita menanti tiba di rumah untuk solat... Bila terlepas waktu solat, terpaksa qada’ saat kita tiba di rumah, kita tetap salahkan kesesakan lalulintas yang panjang dan lama... Bila tiba di rumah, kita lebih rela berbaring, berehat dahulu, sebelum menunaikan solat... Letih bekerja dan penat dek jem, kata kita... Kesesakan lalulintas juga yang kita persalahkan... Angkuh... Sedangkan kita mampu solat di pejabat, sebelum bertolak pulang... Sedangkan kita mampu solat dalam kereta saat kesesakan yang lama, namun kita lebih rela menanti berjam-jam sambil mengeluh...

Malaysia Kita Berdaulat...
Namun,
Mana daulat solat kita???
Mana lebih berdaulat???
Malaysia, atau Allah SWT???
Tanyalah diri kita...
Daulat mana yang lebih kita junjung???
Apa ertinya negara berdaulat, jika solat rakyatnya tidak berdaulat???

Malaysia Tanah Tumpah Darah Kita...
Namun,
Milik siapa sebenarnya darah kita ini???

Ayuhlah kita daulatkan Malaysia ini ketika kita mendaulatkan Allah SWT...
Insya-Allah, daulat itu kan lebih mulia...

Ayuhlah kita jadikan Malaysia ini tanah tumpah darah ketika kita memuliakan tanah ini dengan keberkatan Allah SWT, dan setelah kita muliakan darah kita untuk tumpah di tanah ini...

BIMBANG BILA BERSAMA…

Seorang cucu bertanya kepada seorang atuk…
Cucu :
Assalamualaikum, Atuk...

Atuk :
Waalaikumussalamwarahmatullahiwabarakatuh Cu... Ya, ada apa yang boleh Atuk tolong?

Cucu :
Saya ada satu persoalan... Macam mana kita nak tahu samada kekasih kita sekarang ni adalah pasangan yang baik untuk kita kelak?

Atuk :
Adakah kekasih Cu tu masih punya ibu bapa, keluarga?

Cucu :
Ya, dia masih ada ibu bapa dan beberapa adik beradik...

Atuk :
Alhamdulillah... Seperkara lagi, adakah kamu berdua selalu keluar bersama, yakni ‘dating’? Atau mungkin selallu menghubungi satu sama lain?

Cucu :
Ooo... Kami selalu ‘dating’... Dia tak pernah lambat datang jumpa saya... Sama jugak bila saya ‘call’ atau mesej dia, dia terus jawab...

Atuk :
Oh, itu maksudnya dia bukanlah lelaki yang sesuai untuk menjadi suami yang baik kelak...

Cucu :
Eh, kenapa Atuk kata macam tu pulak?

Atuk :
Cu kata, dia ada mak ayah dan beberapa orang adik-beradik kan? Mana Cu tahu tu? Mesti dia bagitau, kan???

Cucu :
Ya, dia yang cerita pasal keluarga dia kepada saya...

Atuk :
Itu bagus, sebab dia ingatkan keluarga... Tapi...

Cucu :
Tapi???

Atuk :
Tapi, dia takde masa untuk keluarga dia... Bila mana dia selalu luangkan masanya untuk Cu, mana masanya untuk keluarga dia? Kalau sekarang dia takde masa untuk keluarga yang dimilikinya bertahun lalu, adakah Cu yakin dia akan ada masa untuk Cu setelah bertahun berumahtangga kelak? Setahun dua, mungkin masih ada… Tapi, setelah bertahun-tahun, apakah masih ada masanya untuk pasangannya dan keluarganya???
Jadi, Cu sepatutnya takut bila dia selalu ada banyak masa untuk Cu sekarang... Sebab itu bermakna setiap saat dia bersama Cu, dia abaikan setiap saat itu yang dia sepatutnya luangkan bersama keluarganya...

Cucu :
Oh, sekarang saya dah faham... Terima kasih Atuk...

Atuk :

Sama-sama... Semoga Cu berbahagia dunia dan akhirat, Insya-Allah...

‘SHORTCUT’ MEMILIH PASANGAN...

Perkahwinan... Cuti... Seakan serasi, seolah saling berkaitan... Asal cuti, ada kenduri kahwin... Asal nak kahwin, musim cuti la tu... (Ye la, agak kekok kalau ada yang nak berkahwin ketika mereka masih belum bercuti dari kerja atau kuliah...).

Saya juga tidak terlepas daripada jemputan menghadiri kenduri-kenduri kahwin... Ramai kenalan dan sahabat yang melangsungkan kenduri kahwin dalam cuti sekolah ni... Mabruk kepada semuanya...

Dalam meraikan kawan-kawan yang menyambut hari bahagia mereka, sempat juga saya berseloka dengan kawan-kawan yang datang dari jauh untuk menghadiri majlis-majlis tersebut... Berseloroh tentang bila nak kahwin, seorang sahabat meluahkan, “Susah nak pilih pasangan yang baik agamanya, elok keturunannya, cantik rupa parasnya dan sederhana kekayaannya...”. Maksud sahabat tu, ambil masa yang agak panjang untuk mempertimbangkan keempat-empat faktor yang digariskan Islam tu... Makna kata, susah nak cari yang sekufu dengan diri...

Mendengar luahan sedemikian, pastinya membuatkan kita terfikir, tertanya-tanya... Namun, Alhamdulillah ada jawabnya, respon spontan daripada saya, terhadap luahan rasa sahabat tu... Jadi, suka saya kongsikan dengan saudara/saudari... Kata yang tersebut di bibir saya, “Tengok la pembawaan dirinya...”. Erm... Ideanya ada... Namun, penjelasan harus disertakan bersama...

Insan yang baik agamanya, tentu baik pembawaan dirinya... Bukan bermaksud bebas dari kesalahan atau dosa... Tapi, dia akan sentiasa mencuba untuk berketerampilan baik... Dia juga akan cuba memperbetulkan kesilapannya... Kenapa begitu gigih, seakan ingin tampil sempurna??? Kerna demi agama yang dianutinya, dia tak ingin menjadi sumber fitnah buat agamanya...

Insan yang baik keturunannya, tentu baik pembawaan dirinya... Kerna dia tahu keturunannya adalah keturunan terhormat, terpandang, maka dia tak ingin mencalarkan maruah keluarganya... Sekalipun dia datang dari keluarga yang biasa-biasa, yang kadang-kadang terlepas dari pandangan masyarakat, pastinya dia masih tidak ingin keluarganya terhina di sisi masyarakat angkara perbuatan tidak senonohnya...

Insan yang cantik/kacak, perlu jaga pembawaan dirinya... Pandai ‘catwalk’, belum tentu bergaya... Namun, langkah yang tersusun menjauhi tempat-tempat maksiat, Insya-Allah unggul mutu dirinya... Insan yang cantik/kacak pastinya akan cuba sedaya upaya mengelak dirinya daripada menjadi liar... Kerna bila seorang insan tu terserlah liarnya, hilang semua kualiti baiknya... Seperti mana liuk lenggok badannya mampu menampilkan kecantikan/kekacakan dia, seperti itu juga dia perlu sedar bahawa penjelasan lisannya amat tawar setelah tubuhnya menunjukkan lenggok liar...

Pembawaan diri dan kesederhanaan berharta... Persoalannya, bagaimana dua elemen ni saling berkaitan??? Itulah pertanyaan yang diajukan kepada saya oleh sahabat-sahabat saya... Jawab saya mudah, kalau insan tu pandai berbelanja, itulah insan yang baik... Bukan kedekut, bukan juga membazir, itu namanya ‘ekonomi’... Kalau seorang insan tu sekufu dengan kita, pastinya cara dia berbelanja akan membuatkan dia senang... Takkan la kita nak tunggu dia buka dompetnya, untuk kita nilai kesederhanaannya dalam berharta, kan??? Cukuplah kita perhatikan perhiasan yang ternampak pada dirinya...

Sebenarnya, manusia ada tiga gaya jalan dalam berharta... Manusia yang hartanya terlalu banyak, ada ego dalam jalannya... Manusia yang hartanya tidak cukup, berjalan sambil sorok-sorok... Manusia yang hartanya cukup, tenang melangkah... Tak percaya? Boleh saksikan sendiri dalam masyarakat kita sendiri... Yang tak cukup, takut hilang hartanya, pegang ‘handbag’ pun 2 belah tangan (bagi wanita), tangan asyik menepuk kocek seluar sendiri (bagi lelaki)... Yang terlalu kaya, ‘handbag’ sangkut kat pelipat tangan je (bagi wanita), dompet terjulur keluar dari kocek belakang (bagi lelaki)... (Maksud saya di sini, bersangkut perihal hati, bukanlah merujuk terus kepada tahap kekayaan materialistik seseorang... Harapnya maksud saya difahami...)

Maafkan saya, sekiranya saya tersindir sesiapa... Dan, jangan salah faham... Saya bukanlah peragut atau penyeluk saku, kerna tahu semua ini... Ambil perkongsian ini sebagai ingatan... Ini adalah petikan yang tersebut saat saya bersama kawan-kawan... Sekadar seloka dalam berbicara tentang orang sekeliling... Pengajarannya, bawa wang sekadarnya, dan jangan bersendirian jika membawa wang yang banyak...

Rasanya, saya sudah mula melalut dari topik asal... Sebelum saya makin ke laut, elok la saya simpulkan sampai sini... Dari warkah ini, saya syorkan kita semua (bagi yang ingin mencari pasangan, juga yang ingin menilai pasangan) memilih pasangan berdasarkan pembawaan dirinya... Insya-Allah, dari pembawaan dirinya, kita mampu menilai baik agamanya, elok keturunannya, cantik rupa parasnya, dan sederhana kekayaannya... Sebenarnya, Islam dah cukup ringkas dalam menggariskan panduan memilih pasangan ni... Bukan niat saya untuk meringkaskannya lagi... Cuma saya sekadar ingin menggambarkan bahawa empat panduan itu boleh dirangkumkan dalam satu aspek... Alhamdulillah, Allah kurniakan saya ilham sedemikian di saat saya cuba melegakan keluhan seorang insan... Dan kini saya kongsikan... Wallahu a’lam...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Awak ada sesuatu untuk diperkatakan? Atau sesuatu untuk dibincangkan?
Jom kita berdiskusi melalui e-mail...

along.azihani@gmail.com

Insya-Allah, semoga kita dapat berbincang dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat..."

Ahmad Zakry Haikal