HATI JANGAN MATI...


“Ikutkan hati, membawa mati...”
Pepatah atau kata-kata yang menjadi mimpi ngeri ramai insan... Persoalannya, kalau tak ikut hati, nak ikut apa? Ya, ikut iman... Tapi, mana letaknya iman kalau bukan dalam hati?(Haa... Garu kepala juga kan???)

Kadang-kadang kita terlupa, bahawa Allah SWT kurniakan hidayah kepada setiap insan melalui hatinya... Dalam hati, letaknya iman, dan juga nafsu... Terpulanglah kepada kita untuk turut yang mana satu...

Mungkin diri kita selalu tipu hati kita... Sehinggakan suatu hari hati kita tipu diri kita, dan kita tak sedar... Bila mana diri kita tertipu dengan hati kita, maka kita pun putus asa dengan hati kita sendiri... Lalu, kita mula berkata “Ikut hati, mati”...

Contohnya, kita ingin melakukan suatu kejahatan... Kita pujuk hati kita, “Takpe, kali ni je... Lepas ni, taubat la...”. Di peringkat awal kita nak buat jahat, kita selalu pujuk hati kita... Sampai satu peringkat, hati kita pula yang pujuk kita, “Boring la... Jom buat jahat...”. Itulah namanya ketagihan... Sehingga akhirnya diri kita kedapatan atau kita hampir-hampir mati, barulah kita menyesal... Lantas, kita pun berkata, “Ini semua kerana saya terlalu ikutkan hati... Ternyata saya tertipu dengan hati saya sendiri...”. Tak cukup dengan itu, kita bagi nasihat kepada mereka, “Janganlah percayakan hati, kelak memakan diri, membawa mati...”.

Inilah salah satu kesalahan besar yang ramai antara kita buat, namun diri sendiri tak sedar... Itulah yang dikatakan penipuan terbesar dalam hidup... Dan kita salahkan hati kita, setelah diri kita tersakiti... Hakikatnya, diri kita yang terlebih dahulu menyakiti hati sendiri...

Tapi, mana datangnya kekuatan untuk menipu hati sendiri ni???
            Kekuatan untuk menipu hati ini datangnya dari hati juga... Namanya nafsu... Dikebalkan oleh iblis laknatullah... Seperti yang kita selalu tengok dalam drama, konflik dalaman antara ‘si hitam’ dengan ‘si putih’... Itulah yang berlaku dalam diri kita... Penipuan terhadap hati berpunca daripada kita terlalu membesar-besarkan ‘si hitam’... Kita (bersama ‘si hitam’) tak bertindak agresif kepada ‘si putih’, tapi kita guna pendekatan halus... Kita pujuk ‘si putih’, kononnya ke arah ‘win-win situation’... Kita kata, izinkan kita buat jahat, lepas tu kita akan bertaubat... Haa... Inilah gaya penipuan hati alaf baru... Ini dipanggil demokrasi (hati) terpimpin...(gaya macam dalam 3 Abdul).

            Sebab tu, dalam al-Quran kita diseru supaya menjaga hati... Supaya kita dapat kesan yang mana ‘si hitam’ dan yang mana ‘si putih’ dalam hati kita... Itu mungkin menyebabkan kita mengambil masa yang lama sebelum memutuskan tentang sesuatu... Tapi, ada ‘shortcut’...

            Selalulah cuci hati kita... Selalulah bertaubat... Selalulah minta petunjuk Allah... Selalulah istikharah semoga Allah pimpin kita dalam apa jua tindakan kita... Selalulah berserah dan bertawakal kepada Allah... Selalulah berhajat semoga setiap keputusan yang kita buat dalam hidup kita bermanfaat kepada diri kita dan juga orang lain...

            Hati-hati insan adalah milik Allah SWT... Separah-parah kanser hati boleh dikesan kerana ia bersifat jasmani, namun sekecil-kecil iri dalam hati kadang-kadang tenggelam kerana ia bersifat rohani... Insan yang menghidap kanser hati perlu hadiri ‘medical checkup’ hanya beberapa kali sebulan... Namun insan, walaupun tidak menghidap penyakit hati secara rohani, perlu ‘checkup’ hatinya berkali-kali dalm sehari...

            Ubatilah hati kita sehingga kita dapat rasakan ketenangan dalam diri... Ubatilah hati kita sehingga kita mampu percayakan hati kita... Ubatilah hati kita sehingga kita yakin bahawa Allah akan membantu kita dalam setiap tindakan kita... Di saat itu, Insya-Allah apa jua yang kita kata, yang kita buat, akan bermanfaat kepada diri kita dan juga orang sekeliling kita... Di saat itu, Insya-Allah kita akan lebih percayakan hati kita, diri kita, kerana kita dah mula redha... Kita telah redha bahawa Allah SWT sentiasa bersama kita dan Allah SWT akan sentiasa pandu hati kita ke arah yang terbaik buat kita dan mereka...

Macam mana kita nak tahu bahawa hati kita telah bersih???
            Amatilah akan seberapa kerap hati kita mampu bersangka baik (husnuzon)... Maaf untuk saya katakan ini... Tapi, sekiranya kita melihat seseorang mengalami kesusahan... Dan hati kita terlintas, “Kesusahan dia tu adalah kifarah dosanya...”, kita sebenarnya belum cukup husnuzon... Maksud saya, kita seolah-olah berkata, “Padan muka dia... Kesusahan dia tu adalah disebabkan dosa dia yang lalu...”.

            Alangkah baiknya jika kita terfikir bahawa kesusahan yang menimpa insan tersebut sebagai satu ujian buatnya... Atau mungkin kita mampu jadikan kesusahan yang menimpa insan itu sebagai muhasabah buat diri kita, betapa Allah SWT sayangkan insan itu... Sekiranya kesusahan itu adalah kifarah dosanya, itu membuktikan betapa Allah SWT sayangkan dia... Allah SWT tak izinkan insan itu terpalit dosa sedikit pun, terus dicuci... Apakah kita akan diangkat sebegitu mulia oleh Allah SWT? Atau kita akan dibiarkan terus bergelumang dosa, sedangkan kita seronok mengatakan org lain berdosa?

            Saya bukan doktor pakar hati, saya juga bukan pakar motivasi hati, saya hanya inginkan hati yang berseri... Saya cuma ingin kongsikan apa yang terlintas dalam fikiran saya, dari hati saya, untuk saudara dan saudari... Semoga Allah SWT merahmati kita semua kerana kita semua punya hati yang sentiasa berseri...

Pakar gigi kata,
Senyuman berseri bermula dari pemilihan ubat gigi...
Pakar gigi juga kata,
Senyuman berseri mampu dimulakan daripada pemilihan berus gigi...
Pakar perut kata,
Senyuman berseri bergantung pada keselesaan perut...
Pakar perubatan hati kata,
Senyuman berseri adalah bila tiada pedih ulu hati...
Pakar kesihatan badan kata,
Senyuman mampu berseri bila diri terlindungi daripada kuman dan bau badan...
Tapi, ingatlah...
Takde makna semua tu kalau hati tidak berseri...
Tak terjelma senyuman berseri kalau hati kelam...
SERIKAN HATI, BARULAH SENYUM BERSERI...
(bukan hanya kerna namamu ‘Seri’ atau hanya kerna selalu guna ‘Seri Murni...)

MEMPERDOSA ORANG LAIN...


            ‘Trend’ masa kini... Seakan sudah menjadi fenomena... Menggunakan gambar-gambar artis sebagai ‘profile picture’ dan ‘cover picture’ dalam ‘Facebook’...

            Mungkin insan-insan ini terbaca artikel-artikel yang melarang atau menidakkan mereka untuk meletakkan gambar-gambar mereka sebagai ‘profile picture’... Lantas, mereka membuat keputusan untuk meletakkan gambar-gambar artis kesayangan mereka sebagai ‘profile picture’... Lagipun, rasa ‘diva’ sikit, bila letak gambar orang popular ni...(kan???). Satu lagi, barulah namanya peminat setia a.k.a ‘kipas-susah-mati’...(kan, kan???).

            Persoalan yang bermain dalam kepala buntu saya, yang ingin saya kongsikan bersama awak semua, tak rasa bersalah ke? Kita berasa bersalah untuk meletakkan gambar-gambar kita dalam ‘Facebook’... Tapi, kenapa kita dengan rasa tidak bersalahnya meletakkan gambar-gambar orang lain sebagai gantinya? Apatah lagi, gambar insan yang kita letak itu, tidak menutup aurat... Kut ye pun minat sangat kat artis tu, fikirkan yang terbaik jua untuk mereka...

            Ada juga antara kita yang menggunakan gambar artis kesayangan dalam keadaan artis tersebut tidak menutup aurat, walaupun hakikatnya kini artis itu telah menutup aurat... Masya-Allah, sedih melihat khilaf masa lalu artis tersebut masih dipertontonkan kepada umum... Usahkan begitu, menjadi kesalahan sebenarnya kita berkongsi gambar artis yang tidak menutup aurat, biarpun artis tersebut masih tidak menutup aurat sehingga kini... Macam terbelit pulak kata-kata Haikal ni... Pendek kata, tak payah la berkongsi gambar artis-artis ni... Tak rasa bersalah ke? Suka hati kita berkongsi gambar orang lain, mengganggu privasi mereka... Walaupun privasi seorang artis itu sebenarnya bersifat terbuka, tak salah kalau kita sebagai peminat yang sayangkan mereka mengecilkan  privasi mereka, apatah lagi yang berkenaan dengan aib mereka... Aurat tu kan satu aib, yang patut disembunyikan, kecuali kepada mahram insan tersebut... Kita pula, berkongsi auratnya, aib dia, dengan mahram kita... Bukan setakat tu, kawan-kawan kita pun tumpang tengok sekali... Tak ke menambahkan dosa orang tu???

            Kalau betul kita peminat setia, yang sayangkan dia, apa kata kita kongsikan gambarnya yang menutup aurat? Lepas tu, letak pula kata-kata semangat seperti, “Alangkah manisnya jika dia terus menutup aurat sebegini...”. Itu baru namanya peminat sejati... Mendoakan artis kesayangan ke arah yang lebih baik... Mana tahu, suatu ketika artis kesayangan awak tu terlihat perkongsian awak, dan terbaca pula komen-komen yang positif tentang manisnya dia berkeadaan menutup aurat... Dengan izin Allah, terbuka hatinya untuk terus menutup aurat dengan sempurna... Dapat juga bahagian pahala untuk awak, kerna mendoakan artis kesayangan awak... Apa-apa pun, jangan sampai mengundang fitnah pula... Kalau dah rasa was-was tu, cepat-cepat ‘delete’ gambar tu, tukar gambar lain... (tukar gambar kambing ke... Dapat jugak senyum kambing...)

            Ada satu lagi idea...(Banyak pulak idea Haikal malam ni...). Apa kata awak gunakan gambar adik-adik yang menutup aurat, lepas tu tulis kata-kata positif buat artis kesayangan awak tu... Contohnya, “Bila tengok adik ni, terkenangkan (nama artis)...”. Siap ‘tag’ lagi... Insya-Allah, boleh mengundang kepada keterbukaan hatinya juga tu...

            ‘On top of those’, kalau boleh tak payah la kongsikan gambar-gambar artis ni... Lebih baik, kongsikan gambar-gambar haiwan ke, alam sekitar ke... Gambar lukisan abstrak pun boleh... Bak kata Ustaz Azhar Idrus, “Deme letok gambo awek seksi, sepuluh orang je ‘like’... Kite letok gambo binatang, beribu orang ‘like’...”. Makna kata, kadang-kadang kita rasa dengan meletakkan gambar-gambar artis, atau gambar-gambar seksi, orang akan suka... Tapi hakikatnya, orang lebih suka melihat gambar-gambar binatang, gambar-gambar alam...

            Kita kongsikan gambar artis... Kawan kita tengok, dia rasa lawa, dia pun ‘share’ gambar tu... Lepas tu, kawan kepada kawan kita tengok, dia pun rasa lawa, dia pun ‘share’ gambar tersebut... Macam tu la seterusnya, sampaikan berapa punya banyak kawan kepada kawan ‘share’ gambar tu... Tak kesian ke kat artis kesayangan kita tu? Dia tak senang duduk, kepanasan... Bukan sebab ‘hot’, tapi sebab bahangnya dosa... Apatah lagi, jika artis itu telah menutup aurat dengan sempurna kini... Pastinya, sesalan tidak berpenghujung...

            Apa kata kalau kita kongsikan gambar artis luar negara? Contohnya, artis korea seperti ‘Wonder Girls’, atau ‘Wonder Pet’? Boleh??? Tak payah la... Entah la... Maafkan saya, kerna bersikap tidak ‘sporting’... Tapi, apa gunanya kita kongsikan gambar mereka tu? Nak kata kita bangga? Rasa bangga tak perlu ditunjuk... Nak tunjuk semangat kita selaku ‘kipas-susah-mati’ mereka? Cukuplah kita bercerita dengan kawan-kawan kita, dan mereka mengakui serta mengesahkan bahawa kita memang ‘kipas-susah-mati’ artis itu... Tak cukup ke macam tu? Baru-baru ni, saya terlintas satu artikel bergambar... Gambar tu menunjukkan kumpulan artis korea bergelar ‘Wonder Girls’ berbaju kurung...(sebab tu saya tahu nama ‘Wonder Girls’... kalau tak, tak tahu pun nama tu...). Dalam hati terlintas juga, dah manis dah mereka berbaju kurung... Tapi, lebih manis jika mereka bertudung... Pendek kata, yang menutup aurat juga lebih manis dipandang... Lebih manis jika gambaran itu tidak dijelmakan, tapi disimpan sebagai misteri... Contoh terdekat, Al-Quran... Al-Quran itu manis dibaca dan dihayati kerana gambaran yang ada pada Al-Quran itu bersifat misteri... Jadi, hadap Al-Quran jauh lebih baik, daripada hadap insan bukan muhrim yang tidak mendatangkan pahala... Bicara tentang Al-Quran lebih ‘sweet’, berbanding bicara tentang artis yang belum tentu ada kaitan dengan kita dan mendatangkan keuntungan kepada kita...

            Baiklah, cukup sampai sini sahaja saya berceloteh tentang fenomena lambakan gambar-gambar artis di ‘Facebook’... Oleh sebab ramai yang menggunakan gambar artis kesayangan mereka sebagai ‘profile picture’ atau ‘cover picture’, maka saya rasa terpanggil untuk berkata sesuatu... Maafkan saya jika saya tidak pandai mengatur kata sepanjang warkah ini... Niat saya, hanya untuk berkongsi pendapat akan betapa kita perlu sedar akibat perbuatan kita tu... Mungkin kita terlalu seronok atau bangga berkongsi gambar-gambar insan yang kita sayang, sehingga kita terlepas pandang akan akibat buruk yang datang bersamanya...

Nota :
Bagi insan yang tidak tahu seni macam saya, berpendapat gambar-gambar adik-adik kecil, gambar-gambar haiwan, gambar-gambar alam, lebih menarik perhatian dan menenangkan untuk ditatap... Dan Insya-Allah, gambar sedemikian mampu membawa kita lebih dekat dengan Allah selaku Pencipta segalanya...
Awak pula, bagaimana? Apa gambar yang menarik perhatian awak?

KITA PILIH UNDI…


Parlimen Malaysia telah dibubarkan… Beerti pilihanraya menjelang tiba... Saudara/Saudari sokong siapa? Saya guna perkataan ‘sokong’, bukan ‘undi’, kerna ‘undi’ melibatkan golongan berumur tertentu... Sedangkan ‘sokong’, semua orang boleh... Adik-adik yang belum cukup umur untuk mengundi, pun boleh menyokong... Kerna masa depan Malaysia melibatkan keseluruhan rakyatnya, bukan sesetengah sahaja... Walau bagaimanapun, sebelum cukup umur, adik-adik hanya dapat memerhati dan menyokong, belum boleh mengundi... Sabar ye adik-adik... Jadi, ke mana sokongan kita semua?

Ikhlas, saya tertarik dengan wadah sekumpulan rakyat Malaysia yang menggelarkan mereka ‘Arus Baru’... Mereka mengajak dan menyeru kita semua menyokong calon-calon Muslim berwibawa... Saya setuju... Ayuhlah kita menyokong calon-calon Muslim berwibawa, semampu mungkin...

Sebelum saya pergi lebih jauh, izinkan saya menyusun jari sepuluh, memohon maaf... Tidak berniat saya untuk mencetuskan sebarang kontroversi atau menyebabkan permusuhan antara agama dan bangsa... Kita semua satu masyarakat Malaysia, yang Insya-Allah ingin hidup harmoni bersama... Cuma, atas sebab kedaulatan agama, saya merasa terpanggil untuk berkongsi...

Persoalan pertama yang ditimbulkan, “Wajib ke sokong calon Muslim? Haram ke sokong calon bukan Muslim?”... Ikhlas, saya tidak mampu menjawab persoalan ‘wajib’ dan ‘haram’ ni... Kerna saya tidak berhak untuk menentukan hukum... Saya juga tidak layak untuk ber’ijtihad berkenaan hukum hakam Islam, untuk panduan orang lain...

Namun begitu, saya ingin berkongsi satu fahaman saya secara peribadi... Insya-Allah, harapnya ini bukan fahaman sesat... Suka saya memikirkan dan mengajak saudara/saudari turut merenung hakikat duduknya seorang Muslim berbanding seorang bukan Muslim di mata Allah SWT...

Sejahat-jahat seorang Muslim, pengakhirannya tetap syurga, selagi dia ada secebis iman Islam dalam dirinya... Selama mana pun dia di neraka kerana dosanya, habis sahaja dia diazab, dia akhirnya akan dimasukkan ke dalam syurga jua... Betul?

Namun, sebaik-baik seorang bukan Muslim, dia tidak akan pernah menjejakkan kakinya ke dalam syurga... Dia akan tetap dalam neraka, kerana tiada secebis iman Islam pun di dalam dirinya... Kita ambil contoh teladan bapa saudara Nabi Muhammad SAW, Abi Talib... Tiada seorang yang bukan Muslim yang menyokong dakwah Islam seperti Abi Talib... Sumbangan dan jasa Abi Talib benar-benar terkesan kepada Nabi Muhammad SAW sendiri, sehinggakan baginda SAW menangisi kematian Abi Talib... Kematian Abi Talib menyumbang kepada tahun tersebut digelar ‘Tahun Kesedihan’ bagi Nabi SAW... Nabi SAW menangisi kematian Abi Talib bukan kerana hubungan mereka yang rapat, tapi kerana betapa Abi Talib menyokong gerakan dakwah Islam yang dipelopori Baginda SAW...

Begitu besar jasa Abi Talib kepada gerakan Islam... Sudah pasti akhlak Abi Talib ketika hidupnya juga bertepatan dengan akhlak Islami, kan? Tapi, apa pengakhiran Abi Talib setelah matinya? Abi Talib dimasukkan ke dalam neraka, dan kekal di dalamnya... Kerna apa? Kerna Abi Talib tidak Islam sehingga dia mati... Dia diazab dengan seringan-ringan azab neraka, iaitu dipakaikan kasut neraka yang apabila disarung, mendidih otak... Begitu besar jasa Abi Talib kepada Islam, dan begitu baik akhlak Abi Talib ketika hidupnya... Namun, dia tetap di neraka selama-lamanya...

Mengapa begitu? Dan apa ibrahnya? Ibrahnya, jelaslah bagi kita bahawa iman Islam itu sangat penting bagi seorang insan... Seperkara lagi, perlu kita renungkan, mengapa seorang Islam boleh masuk syurga? Adakah kerana amalannya? Jawapannya, tidak... Seorang Islam dapat masuk syurga kerana ihsan Allah SWT... Kerana Ar-Rahim Allah SWT... Makna kata, bila mana seorang insan bergelar Muslim, dia mendapat ihsan Allah SWT dan dia dipayungi Ar-Rahim Allah SWT... Seorang bukan Muslim? (Hmm...). Jadi, siapa yang ingin kita sokong? Adakah insan yang dipayungi Ar-Rahim Allah SWT, atau yang insan yang tidak mendapat rahmat Ar-Rahim Allah?

Jadi, rasanya kita semua dah boleh memikirkan jawapan kepada persoalan “Wajib ke sokong calon Muslim?” dan “Haram ke sokong calon bukan Muslim?”... Jawapannya ada pada saudara/saudari sendiri...

Selain itu, jika kita singkap peringkat-peringkat penurunan ayat-ayat Al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW, dapat kita perhatikan bahawa ayat-ayat berkaitan akidah diturunkan terlebih dahulu, sebelum ayat-ayat berkaitan akhlak... Hakikat daripada itu, Allah SWT menekankan akidah terlebih dahulu sebelum akhlak... Jika Allah SWT menjelaskan bahawa akidah itu lebih penting sebelum akhlak, ada lagi ke antara kita yang ingin mengatakan akhlak perlu dinilai dahulu, tanpa mengira akidah?

Ada juga yang menyingkap sirah di mana Nabi Muhammad menolak untuk melantik Abu Dzar (maaf jika saya tersilap...) menjadi salah seorang pemerintah wilayah Islam... Nabi menolak Abu Dzar yang terkenal dengan kewarakannya, atas sebab Abu Dzar tidak layak sebagai pemimpin... Jadi, ramailah yang berkata, “Warak belum tentu dapat memimpin...”, sebagai alasan untuk tidak menyokong calon Muslim dan menyokong calon lain yang bukan Muslim...

Betul, seorang yang warak belum tentu berkemahiran sebagai pemimpin... Namun, jika kita ingin singkap sirah ini, kita juga harus sedar bahawa setelah Nabi Muhammad SAW menolak Abu Dzar, adakah baginda SAW memilih orang bukan Muslim sebagai pemerintah? Tidak, bukan... Saudara/Saudari, Nabi Muhammad SAW menolak Abu Dzar sebagai pemerintah, setelah meneliti bahawa ada insan Muslim yang lain lebih berkelayakan sebagai pemerintah... Baginda SAW tidak membandingkan Abu Dzar dengan insan bukan Muslim...

Itu sekaligus menjawab persoalan, “Bagaimana jika calon Muslim tersebut tidak berwibawa?”... Seperti mana maksud kata Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman, “Kenapa mesti calon Muslim yang tidak berwibawa ditampilkan? Sudah habis ke calon Muslim yang berwibawa?”

Sekiranya kita diberi pilihan antara calon beragama Islam dan calon bukan beragama Islam, pilihlah yang beragama Islam... Jika kita diberi pilihan calon-calon yang kesemuanya beragama Islam, pilihlah yang berwibawa...

Jadi saudara/saudari, pilihlah calon Muslim... Kerna calon Muslim itu telah diteliti sebagai yang terbaik oleh barisan kepimpinan tertinggi partinya... Soal dia bermuka-muka di hadapan kepimpinan, bersifat hipokrit, sedangkan dia sebenarnya bukan sebaik yang disangka, itu soal dia dengan Allah SWT... Mungkin juga kita tidak habis menilai calon tersebut... Lagipun, mengapa mesti kita mengenang sisi jahatnya sahaja? Boleh jadi dia jauh lebih mulia daripada yang kita sangka...

Alkisah Pak Kaduk... Baru kematian isteri, Pak Kaduk ingin kahwin lagi... Disuruh mencari yang beragama, Pak Kaduk menolak... Katanya, apa guna beragama, jika akhlaknya buruk, rupa tidak cantik, dan bukan keturunan yang baik-baik... Dicari-cari, akhirnya Pak Kaduk ketemu pilihan hatinya... Dipilih yang berakhlak baik, rupa cantik dan dari keturunan terbaik... Tapi, Pak Kaduk terlupa... Pilihan hatinya tidak beragama... Entah apa la nasib Pak Kaduk bersama isteri barunya kelak...
Moral :           Jangan sampai kita jadi macam Pak Kaduk... Bukan ke Allah suruh pilih yang beragama terlebih dahulu???

Renung-renungkan, dan selamat mengundi, Malaysia... Malaysia negara Islam bermartabat, Islam berdaulat, rakyat harmoni bermasyarakat...



LARIAN JASA MEREKA…


Seorang adik sedang makan ais-krim bersama abangnya… Si adik bersuara…
Adik :
Abang...

Abang :
Ye, ada apa?

Adik :
Apa maksudnya bila kita kata, “Jasa ibu bapa tak akan mampu dibalas oleh anak-anak”?

Abang :
Kenapa? Adik tak percaya dengan kata-kata tu?

Adik :
Adik percaya... Cuma, secara praktikalnya, apa maksudnya tu?

Abang :
Baiklah, Abang cuba buat Adik faham... Macam ni, ibu bapa dah mula berjasa pada anak-anak sejak sebelum anak-anak lahir lagi... Adik percaya tu?

Adik :
Insya-Allah, percaya... Sebab jasa tu bermula sejak seorang lelaki atau wanita memilih pasangan untuk menjadi ibu atau bapa kepada bakal anak-anak mereka... Selain tu, ibu bapa banyak belajar demi anak-anak yang bakal mereka miliki kelak... Masa mengandung, ibu dan juga bapa banyak belajar tips-tips pemakanan sihat, cara hidup sihat demi kebaikan anak yang dikandungkan...

Abang :
Ya, betul tu... Apa kata, kita tak payah ambil tempoh pembelajaran ibu bapa, sebelum mereka berjasa kepada anak-anak? Dan, kita takkan ambil juga tempoh pembelajaran anak-anak, sebelum mereka berjasa kepada ibu bapa... Sebab sesetengah orang percaya, ilmu secara teoritikal sahaja tidak dikira sebagai amalan atau jasa... Okey?

Adik :
Baiklah...

Abang :
‘Alright’... Jom kita umpamakan bab-bab berjasa ni seperti larian, seperti lumba lari...
Adik rasa, bila ibu bapa mula berjasa kepada anak-anak? Secara praktikalnya?

Adik :
Masa ibu mengandungkan anak-anak?

Abang :
Abang terima jawapan tu... 10 markah untuk adik Abang...
Kalau dikira, ketika ibu atau bapa memilih insan untuk menjadi bapa atau ibu kepada anak-anak yang bakal dilahirkan, adalah satu jasa praktikal terawal mereka... Tapi, tak mengapa... Kita akan ambil kira jasa ibu bapa sejak anak-anak dalam kandungan...
Masa mengandung, ibu berjasa dengan makan makanan yang berkhasiat, berhati-hati dalam serba serbi untuk jaga kandungan... Ayah pun, tak kurang hebat jasanya... Berkejar ke sana ke mari bekerja, nak cari macam-macam... Sebab nak bagi yang terbaik kepada ibu yang sedang mengandung... Kalau diibaratkan berjasa ni sebagai larian, maknanya ibu bapa dah mulakan larian ‘jasa’ mereka sejak anak-anak dalam kandungan lagi...
Bila anak dah lahir, lagi la hebat jasa ibu bapa ni... Nak cukupkan makan minum anak-anak, nak beli keperluan bayi macam-macam... Kalau diibaratkan jasa mereka masa tu, seolah-olah mereka sedang memecut...
Bila anak-anak dah besar, okey la sikit... Mereka tak perlu memecut lagi... Tapi, mereka masih berlari... Sebab mereka masih lagi berjasa kepada anak-anak, nak pastikan anak-anak membesar dengan baik...
Adik agak, seawal umur berapa anak-anak mula berjasa kepada ibu bapa, secara praktikalnya?

Adik :
Erm... Masa umur 15 tahun kut...

Abang :
15 tahun? Erm... Boleh la... Apa kata kita ambil umur lagi awal? 13 tahun mungkin? Sebab ada juga anak-anak yang bekerja masa umur 13 tahun, untuk membantu ibu bapa... Kita tak ambil kira jasa anak-anak yang berniat nak jaga hati ibu bapa, tak nak menyusahkan ibu bapa... Sebab kalau kita ambil kira bab-bab tu, kita kena ambil yang sama bagi pihak ibu bapa... Aci tak?

Adik :
Okey, aci...

Abang :
Okey, kita ambil umur 13 tahun anak-anak mula berjasa kepada ibu bapa...
Makna kata, anak-anak hanya memulakan larian jasa mereka pada umur 13 tahun... Sedangkan ibu bapa telah berlari sejak lama dahulu, lebih 13 tahun dahulu berbanding anak-anak... Dan, anak-anak itu juga perlu ingat, ketika mereka memulakan larian jasa mereka pada umur 13 tahun tu, ibu bapa masih berlari... Sebab ibu bapa masih berjasa kepada anak-anak, walaupun anak-anak sudah pandai berjasa kepada ibu bapa...
Jadi, adik rasa, sempat tak anak-anak mengejar ibu bapa? Boleh tak anak-anak memintas ibu bapa dalam larian ‘jasa’ tu?

Adik :
Tentulah tak boleh... Ibu bapa dah jauh ke depan, dan masih terus berlari... Sedangkan anak-anak dah jauh ketinggalan di belakang, dan baru mula berlari... Tak terkejar la...

Abang :
Haa... Tengok... Mana mungkin anak-anak nak pintas jasa-jasa ibu bapa?

Adik :
Tapi kan, Abang... Katakanlah setelah ibu bapa dah lama meninggal, anak-anak masih meneruskan jasa kepada ibu bapa... Tak terkejar lagi ke?

Abang :
Bagus idea tu... Tapi, Adik kena ingat juga... Setelah ibu bapa meninggal, jasa anak-anak kepada ibu bapa juga berkurangan... Katakanlah semasa ibu bapa hidup, si anak mendoakan ibu bapa, bagi duit tiap-tiap bulan, tolong ibu bapa dari segi kudrat dan kewangan... Makna kata, anak-anak berjasa kepada ibu bapa dari segi konkrit dan abstrak, zahir dan batin... Itu ketika ibu bapa masih hidup...
Tapi, setelah ibu bapa meninggal dan dikuburkan, anak-anak tidak boleh berjasa secara konkrit, secara zahir lagi kepada ibu bapa... Anak-anak dah tak dapat nak bagi duit kepada ibu bapa, dah tak dapat tolong ibu bapa yang sedang sakit... Anak-anak hanya mampu berjasa secara abstrak, secara batin... Anak-anak hanya mampu mendoakan ibu bapa...
Jadi, jasa anak-anak kepada ibu bapa dah berkurang... Berbalik kepada analogi larian ‘jasa’ kita tadi... Walaupun ibu bapa sudah tidak berlari lagi, kerana mereka sudah meninggal, tetapi momentum larian anak-anak juga berkurangan... Agak-agak sempat ke nak pintas jarak larian ‘jasa’ ibu bapa tu? Silap-silap anak-anak pun berhenti berlari dan meninggal sebelum sempat sampai pada jarak larian ‘jasa’ ibu bapa tu...
Itu, belum lagi mengambil kira ibu bapa yang masih meninggalkan jasa kepada anak-anak... Rumah, tanah, ajaran, atau apa jua jasa yang mampu mengalir walaupun ibu bapa telah meninggal... Jasa-jasa peninggalan mereka tu, umpamanya jejak-jejak larian ‘jasa’ mereka yang terus maju ke depan, walaupun mereka sudah tiada...
Jadi, Adik... Anak-anak bertambah maju berbanding ibu bapa... Pergerakan anak-anak semakin pantas... Tapi, anak-anak masih tidak akan mampu memintas ibu bapa dalam larian ‘jasa’...

Adik :
‘You know what’? ‘Style’ la Abang... Siap analogi larian ‘jasa’ bagai...

Abang :
Eh, bukan Adik ke yang mulakan tadi??? Maknanya, Adik la yang ‘style’...
Apa-apa pun, Adik... Anak-anak kena mulakan larian ‘jasa’ tu seawal mungkin... Anak-anak kena teruskan larian ‘jasa’ mereka... Walaupun tak mampu memintas jarak larian ‘jasa’ ibu bapa, sekurangnya kita berlari sejauh mungkin... Ingat, larian ‘jasa’ ibu bapa ni, bukan ‘combination’ jarak ibu dan bapa tau... Larian ibu, satu... Larian bapa, satu yang lain pula... Dua-dua jarak tu, terlalu jauh untuk kita pintas... Tapi, jangan cepat mengalah dan rasa malas... Jangan juga sampai terbabas...
Adik faham tak apa Abang cakap dari tadi ni?

Adik :
Insya-Allah, faham... Kalau tak faham apa-apa, nanti Adik tanya Abang... Buat masa ni, Adik nak fikir dulu kata-kata Abang tu...

Abang :
Ha, fikir jangan tak fikir... Ais-krim dah meleleh tu... Habiskan cepat, dan yuk kita pulai...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Awak ada sesuatu untuk diperkatakan? Atau sesuatu untuk dibincangkan?
Jom kita berdiskusi melalui e-mail...

along.azihani@gmail.com

Insya-Allah, semoga kita dapat berbincang dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat..."

Ahmad Zakry Haikal